'Saya reda dan pasrah, situasi ini sudah dijangka – Wan Ahmad Fahysal

'Saya reda dan pasrah, situasi ini sudah dijangka – Wan Ahmad Fahysal

nfazlina@nstp.com.my

Kota Bharu: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fahysal Wan Ahmad yang dipecat daripada BERSATU hari ini meluahkan rasa pasrah dan reda selain sudah menjangka dengan situasi yang berlaku.

Wan Ahmad Fahysal turut memaklumkan keputusan yang dibuat parti itu tidak pelik atau menghairankan kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin kini dalam keadaan terdesak.

Malah katanya, beliau juga tidak akan membuat rayuan untuk kembali semula kepada parti itu.

“Saya reda dan pasrah dengan keputusan yang dibuat parti hari ini. Saya sudah jangka akan berlaku situasi sepertimana hari ini.

“Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin sedang gelabah dan kalut kerana beliau sedang dicabar oleh ramai ahli Parlimen dan pimpinan akar umbi.

“Saya kini memandang ke hadapan bagi fasa baru yang seterusnya dalam karier politik saya,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahamd Fahysal Wan Ahmad yang sebelum ini digantung keahliannya dalam parti, kini berdepan tindakan pemecatan.

Dalam satu notis dikeluarkan Lembaga Disiplin parti itu, bekas Ketua Armada BERSATU itu dipecat keahliannya dalam parti kerana melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan BERSATU.

Notis pemecatan serta merta bertarikh hari ini dikeluarkan dan ditandatangani Pengerusi Lembaga Disiplin BERSATU, Datuk Mohd Radzi Manan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top