'Saya sahkan penahanan Zamri Vinoth bersama penama lain' – Fadil

'Saya sahkan penahanan Zamri Vinoth bersama penama lain' – Fadil

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis mengesahkan penahanan penyelaras Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth berhubung perhimpunan berkenaan yang dilaksanakan di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo di sini, malam ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, turut ditahan beberapa individu lain yang dipercayai berkait perhimpunan berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Saya sahkan penahanan Zamri Vinoth bersama penama-penama (individu) lain,” katanya ringkas di sini sebentar tadi.

Menurutnya, beliau juga akan memaklumkan maklumat lanjut berhubung perkara itu, esok.

Tambah beliau keadaan terkawal dengan pemantauan pihak polis dan suasana di lokasi ketika ini juga sudah lengang.

Terdahulu media melaporkan, beberapa individu dipercayai peserta perhimpunan GARAH ditahan di hadapan Kompleks Membeli Belah Sogo di sini, malam ini.

Sementara itu, difahamkan sekurang-kurangnya enam individu termasuk penyelaras perhimpunan terbabit, Zamri Vinoth turut ditahan dan semua individu berkenaan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk tindakan lanjut.

Tinjauan Harian Metro di lokasi mendapati ada beberapa individu dipercayai peserta himpunan berkenaan tetap hadir di lokasi biarpun pihak berkuasa menegaskan keputusan untuk tidak membenarkan perhimpunan itu dilaksanakan.

Terdahulu media melaporkan, penyelaras Perhimpunan GARAH tetap berhasrat meneruskan perhimpunan di ibu kota, malam ini walaupun polis memutuskan tidak membenarkannya atas faktor keselamatan awam.

Pendirian itu disuarakan, Zamri menerusi beberapa hantaran di media sosial yang menegaskan perhimpunan berkenaan tetap dirancang berlangsung pada 8 malam.

Dalam hantaran berkenaan, penganjur berhujah perhimpunan itu bersifat aman dan dijalankan selaras peruntukan undang-undang sedia ada, termasuk Akta Perhimpunan Aman, selain menyatakan tanggungjawab polis adalah memastikan keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung.

Bagaimanapun, sebelum itu Fadil dilaporkan, hari ini menegaskan keputusan untuk tidak membenarkan perhimpunan itu dibuat selepas pihaknya menjalankan risikan keselamatan dan mengambil kira maklum balas semua pihak berkaitan, termasuk pemilik premis di sekitar lokasi perhimpunan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top