"Saya sangat takut dan anggap babak itu keterlaluan" – Ummi Nazeera

"Saya sangat takut dan anggap babak itu keterlaluan" – Ummi Nazeera

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon berkaliber, Ummi Nazeera, 35, berkongsi perasaan takut yang muncul secara tiba-tiba ketika menjiwai satu babak berat dan menuntut penghayatan mendalam dalam drama Saat Aku Tahu.

Dalam drama bersiri ini, Ummi melakonkan watak Maira berganding dengan Anna Jobling dan Hisyam Hamid selaku teraju utama.

Ummi atau nama sebenarnya, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin berkata, watak Maira adalah antara naskhah paling mencabar dalam karier lakonannya.

“Suatu hari, ketika saya bawa karakter ini (Maira), tiba-tiba saya berasa sangat takut dan sudah lama tidak merasai perkara sebegitu.

“Sebab ia adalah babak yang menakutkan, maksudnya, sangat berat kerana saya merasakan babak itu keterlaluan. Tapi graf karakter ini sangat menarik untuk ditonton,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran dan tayangan perdana drama Saat Aku Tahu yang berlangsung di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ummi berkata, karakter yang dibawa kali ini menuntut kekuatan dari segenap aspek kerana plot yang sarat dengan pelbagai konflik.

“Naskhah ini antara yang sukar dilakukan kerana ia membabitkan lapisan emosi yang kompleks kerana kadang-kadang watak ini boleh jadi baik atau jahat.

“Maira adalah watak yang tersakiti dan menyakiti, jujur memang penat untuk bermain dengan karakter seperti ini terutama aspek fizikal dan saya berasa sangat penat kerana ada sedikit babak aksi,” kata isteri kepada Dr Mohd Izzar Anwari dan ibu kepada dua cahaya mata ini.

Ditanya babak bersentuhan pula, kata Ummi, tiada sebarang sentuhan membabitkan lakonannya bersama Hisyam kerana teknik kamera tertentu digunakan untuk memberi kesan realistik.

Katanya, sebagai wanita berhijab, dia tetap menjaga batas dan maruahnya dalam lakonan.

“Untuk bawa watak ini dalam naskhah yang bertemakan curang bukan mudah kerana pastinya akan ada banyak isu sensitif.

“Saya dan Hisyam tidak bersentuhan langsung tetapi banyak ‘kamera trick’ untuk beberapa babak ‘panas’ dalam drama ini.

“Sejujurnya, saya tidak pernah buat begitu, jadi saya harap peminat dan penonton dapat menerima dengan hati yang terbuka,” katanya.

Drama bersiri 15 episod genre psikologi romantik Saat Aku Tahu mula menemui penonton mulai hari ini di platform Viu setiap Khamis dan Jumaat.

Selain Ummi, Hisyam dan Anna Jobling, drama ini menampilkan barisan pelakon antaranya Luqman Hafidz, Datuk Eizlan Yusof dan Quinneyra Alyssha.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top