'Saya sangka adik sahaja terkena renjatan elektrik, rupanya…'

am@hmetro.com.my

Besut: Wan Affida Malina Wan Awang bergegas ke kolam ternakan ikan di Pantai Air Tawar, di sini sebaik dimaklumkan adiknya tidak sedarkan diri dipercayai akibat terkena renjatan elektrik.

Namun, wanita berusia 51 tahun itu tidak menyangka insiden yang meragut nyawa Wan Adilah, 49, turut membabitkan penuntut universiti yang menjalani latihan industri di kolam berkenaan, Rubayyi Razak, 27.

“Pada awalnya saya sangka adik saya seorang tidak sedarkan diri, terbaring tepi kolam ikan, rupanya berdua dengan pelajar praktikal di situ.

“Saya berada kira-kira 20 meter di seberang kolam dan tidak berani mendekati mereka kerana

bimbang masih ada arus elektrik,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Besut, hari ini.

Menurutnya dia mengetahui mengenai kejadian selepas diberitahu seorang kenalan keluarga pada 1.07 tengah hari.

Katanya, Wan Adilah yang masih bujang adalah anak ketiga daripada tujuh beradik dan sudah menguruskan kolam ternakan ikan sejak 2019,

“Selalunya dua anak saya iaitu Muhammad Nizar Hakim Miliki, 22, dan Nor Aiesyah Miliki, 25, yang sering bantu arwah apabila mereka cuti pengajian atau cuti bekerja.

“Arwah sangat aktif berpersatuan serta menyertai kelab belia sejak muda dan menjawat pelbagai jawatan penting dalam organisasi,” katanya yang memaklumkan kali terakhir bersua muka dengan adiknya pada minggu lalu.

Wan Affida Malina juga memberitahu arwah adiknya seorang yang ceria dan peramah namun tegas dalam membuat sebarang keputusan, selain berkemampuan mengurus kolam ternakan ikan secara sendirian.

“Selalunya jika ada apa-apa berita atau perkara dia lebih suka berkongsi dengan anak saya, Hakim kerana dia yang berulang-alik ke kolam berjumpa arwah yang dipanggil Mak Teh,” katanya memaklumkan jenazah Wan Adilah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Dengir di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top