'Saya sayang dia, mohon ruang untuk kami berbincang' – Fuad Rahman

'Saya sayang dia, mohon ruang untuk kami berbincang' – Fuad Rahman

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi asal Singapura, Fuad Rahman, 47, mengaku masih menyayangi isterinya, Tom atau nama sebenar, Raja Farah Afzal Raja Ikram, 40, sekali gus tidak terfikir untuk berpisah.

Fuad atau nama sebenar Mohamed Fuad Abdul Rahman berkata, dia memohon ruang untuk berbincang dengan isterinya berhubung pendedahan dibuat oleh Tom di media sosial berkaitan curang terhadap suami.

“Apabila saya akad nikah, bersalam dengan kadi dulu, itu bermakna saya sudah berjanji dengan Allah untuk sayang dan jaga dia (Tom) dengan baik. Saya berusaha menjadikan diri lebih baik sebab sayang pada dia.

“Anak kami, Anggun pun masih kecil. Jadi, saya mohon ruang untuk kami berbincang. Selama saya berkahwin dengan dia (Tom) memang saya gembira dan bahagia. Jadi, saya juga hormati minat dia yang suka surf (meluncur) itu.

“Saya izinkan dia pergi meluncur di Kuantan, Pahang termasuk saya ambil tanggungjawab bersendiri jaga anak kami, Anggun. Tiga tahun berkahwin dengan dia, saya juga tidak pernah putus memberi nafkah kepada anak-anak.

“Dua lagi anak (tiri) masih bersekolah, saya faham dan tak pernah berkira langsung dengan dia. Tapi bila terjadi perkara sebegini (curang) dalam perkahwinan, mesti ada sesuatu (silap) di mana-mana,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia serius terhadap perkahwinan dibina bersama Tom kerana sentiasa ingat pada janji besar yang dipegang dengan Allah serta tanggungjawabnya sebagai suami dan bapa.

“Saya sayang dia. Tapi, apa-apa pun urusan jodoh kami saya serahkan pada ketentuan Allah. Saya ambil dia jadi isteri dengan cara baik dan kalau apa-apa pun selepas ini daripada Allah,” katanya.

Katanya, dia dan Tom juga berada dalam keadaan baik ketika meraikan ulang tahun anak mereka, Putri Anggun Lovellia atau Anggun, 2, di Kuantan, baru-baru ini.

Terdahulu, Tom membuat pendedahan mengejut di Facebook, semalam dengan memaklumkan dia sudah berlaku curang terhadap suaminya, Fuad untuk bersama lelaki lain.

Pasangan Fuad dan Tom mendirikan rumah tangga pada 26 Februari 2023 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Anggun pada 18 Februari 2024.

Difahamkan sebelum bernikah, Fuad dan Tom pernah menjalinkan hubungan cinta sekitar 2005, namun ikatan itu terputus pada 2010 apabila Fuad ditahan polis Singapura dan dijatuhkan hukuman penjara.

Hubungan pasangan ini bagaimanapun mekar semula sehingga mereka bernikah selepas masing-masing bertemu kembali di Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) pada 2022.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top