Penyanyi popular, Shila Amzah menolak dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan hubungannya bersama ibu, Fauziah Sarman kembali goyah.
Isu itu tercetus selepas Shila tampil membuat pendedahan menerusi podcast ‘Kita Kita Aje! Podcast’, baru-baru ini.
Jelasnya, dia menyayangi ibunya bahkan hubungannya mereka kini lebih rapat berbanding dahulu.
“Saya sayang mak saya. Tolong jangan dengar podcast tu seolah-olah hubungan kami tak okay.
“In fact, kami sangat rapat sekarang berbanding apa yang berlaku dahulu,” ulasnya.
Shila atau nama lengkapnya, Nurshahila Amir Amzah, 34, berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Threads miliknya.
Tegasnya, apa yang dikongsikan menerusi podcast tersebut adalah sebagai tauladan buat penonton.
“Perkongsian saya hanya sebagai tauladan, tiada manusia yang sempurna.
“Berjauhan dengan ibu bapa bukanlah sesuatu yang mudah.
“Dia berkahwin pada usia yang terlalu muda dan mempunya empat orang anak diusia 29 tahun.
“Tolong kirimkan kasih dan sayang anda kepada mak saya, dia juga perlukan kerana ‘healing’ bukan satu proses yang mudah untuk dihadapinya.
“Semua orang berhak mengecapi kebahagiaan,” katanya.
Terdahulu, sesi podcast yang dikendalikan pengacara terkenal, Datuk Aznil Haji Nawawi menyorot perhatian apabila pelantun lagu Patah Seribu itu berkongsi pengalaman pahit dalam hidupnya termasuklah insiden lari dari rumah.