'Saya sedih kerana belum puas bantu ibu, malah ibu kini perlu jaga saya'- penghidap barah usus

'Saya sedih kerana belum puas bantu ibu, malah ibu kini perlu jaga saya'- penghidap barah usus

am@hmetro.com.my

Tanah Merah: Tidak disangka, sakit ketika ingin membuang air besar dan ketulan yang timbul semakin membesar di bahagian punggung yang disangka buasir rupanya barah usus.

Penderitaan itu dialami Muhammad Zakaria Ismail, 29, sejak tiga tahun lalu namun sejak sebulan lalu, keadaannya semakin teruk malah terlantar di katil.

Muhammad Zakaria berkata, dia menderita barah usus tahap lima dan dalam beberapa hari lagi, akan dirujuk ke hospital untuk persediaan rawatan awal kimoterapi.

“Ketika didiagnos tiga tahun lalu, barah usus saya ditahap tiga dan sudah dijalankan rawatan radioterapi serta menjalani pembedahan mengeluarkan usus.

“Kini, sel barah semakin merebak dan kini sudah ditahap lima. Malah, sejak sebulan lalu, keadaan saya semakin lemah, untuk menyuap makan sekalipun memerlukan bantuan ibu,” katanya ditemui di rumah sewanya di Kampung Kuala Tiga, di sini.

Muhammad Zakaria berkata, setiap malam, tidurnya tidak pernah lena kerana terlalu memikirkan nasib dan ujian yang ditakdirkan ke atasnya ditambah perasaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga sudah tiada.

Dia berkata, sejak kematian bapa beberapa tahun lalu, dia turut membantu menyara keluarga meskipun mempunyai bapa tiri yang bertanggungjawab.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai mekanik lori di Pahang dan pendapatan banyak digunakan untuk keluarga, terutama untuk empat adik serta ibu.

“Selepas diuji kesihatan sebegini, saya sedih kerana belum puas membalas jasa ibu malah kini membebankannya pula apabila terpaksa menguruskan saya sepanjang masa,” katanya yang menerima bantuan bulanan RM250 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Terdahulu, dia dikunjungi pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Cempaka Merah Asnaf Society Che Norhayati Mohamed yang menyampaikan sumbangan wang zakat, makanan serta lampin pakai buang untuk kegunaannya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyumbang melalui akaun Bank Islam 0306 3020 3378 49 atas nama milik Muhammad Zakaria.

Menurut ibunya, Zakarno Abdullah, 48, ketulan di punggung anaknya sering mengeluarkan cecair dan dia hanya memakaikan tuala wanita kerana ingin menjimatkan kos.

“Perbelanjaan bulanan kami agak besar dan suami hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur.

“Gaji yang dikirim dimanfaatkan sepenuhnya untuk kelangsungan kami sekeluarga selain membayar sewa rumah RM200 sebulan,” katanya yang terpaksa berhenti menjual kuih kerana perlu menguruskan Muhammad Zakaria sepenuh masa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top