'Saya selamat, jangan cari saya' – David Balisong

'Saya selamat, jangan cari saya' – David Balisong

hafidzul@hmetro.com.my

Shah Alam: Remaja warga Britain David Balisong, 17, yang dilaporkan hilang pada 7 Jun lalu didapati menghantar pesanan kepada keluarganya supaya tidak mencarinya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, remaja berkenaan menghantar pesanan terbabit menerusi emel kepada ibunya pada 9 Julai lalu.

“Antara kandungan e-mel berkenaan adalah luahan Orang Hilang (Balisong) supaya jangan bimbang dan cuba mencarinya.

“Selain itu, dia turut mendoakan ahli keluarga berjaya dalam kehidupan serta memohon maaf kerana melakukan perkara ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Menurutnya, berdasarkan pesanan emel itu juga didapati remaja berkenaan tidak menyatakan bila akan pulang kepada keluarganya.

“Setakat ini, enam individu sudah dirakam keterangan bagi membantu siasatan kehilangan remaja itu.

“Ini termasuk ibu remaja itu, pemandu dan kaunter bas, pekerja premis pertukaran wang asing dan anggota polis,” katanya.

Hussein berkata, siasatan terhadap rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati kali terakhir remaja itu dikesan adalah di lobi KL Sentral, Kuala Lumpur, jam 10.09 pagi pada 7 Jun lalu.

“Setakat ini, tiada rekod remaja itu keluar daripada negara ini dan usaha mencarinya sedang giat dilakukan,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, polis menyiasat kehilangan seorang remaja 17 tahun dari Britain yang dilaporkan hilang selepas secara senyap-senyap menaiki penerbangan ke Malaysia.

Balisong, seorang pelajar cemerlang dari Cheadle, Greater Manchester, meninggalkan rumah pada awal pagi 6 Jun dan memberitahu abangnya dia mempunyai urusan di sekolah.

Sebaliknya, remaja itu seorang diri menaiki penerbangan dari Manchester ke Kuala Lumpur. Sejak itu, dia mematikan telefon dan tidak membalas emel.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) KLIA, Inspektor Hazuin Jan Abdul Hamid di talian 017-736 9187.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top