Penyanyi bersuara emas, Azharina Azhar, tampil berkongsi sisi dirinya yang jarang dilihat umum mengenai tentang perjuangan peribadi dalam mengurus emosi dan membina semula kekuatan jiwa.
Dalam temu bual terbaharu, Azharina mendedahkan sesi bersama pakar transformasi diri, Dr Hisham Dzakiria atau lebih dikenali sebagai Dr Healing, menjadi antara titik penting dalam perjalanan pemulihannya.
Kisah di sebalik tabir seorang penyanyi yang sering kelihatan kuat dan bersemangat di atas pentas, sebenarnya menyimpan kepenatan mendalam dari segi mental dan emosi.
“Di mata ramai, saya sentiasa senyum dan menyanyi penuh tenaga, tapi sebenarnya saya simpan luka lama yang belum sembuh.
“Waktu pertama kali hadiri sesi dengan Dr Hisham, saya menangis tanpa saya sedar. Rasanya seperti beban berat dalam jiwa terangkat. Itu pengalaman yang saya tak pernah lalui sebelum ini,” luahnya jujur.

Tambah Azharina, setelah bertahun bertahan sendirian, dia akhirnya menerima hakikat bahawa dirinya juga memerlukan ruang untuk pulih dan didengari tanpa dinilai atau ditekan.
Dr Hisham Dzakiria, yang kini mendapat gelaran Dr Healing dalam kalangan peminat dan peserta programnya, bukanlah sekadar jurulatih motivasi biasa.
Sebaliknya, Dr Healing dikenali dengan pendekatan berasaskan kasih sayang dan empati, serta keupayaan untuk menyentuh sisi emosi paling dalam dalam diri seseorang.
“Saya tak malu untuk mengaku yang saya perlukan healing. Saya bersyukur ditemukan dengan insan seperti Dr Healing.
“Saya doakan lebih ramai orang berpeluang merasa keajaiban yang Dr Healing bawakan,” ujar Azharina, yang kini tampil lebih terbuka berkongsi tentang kesihatan emosi.

Sebagai pakar pembangunan kendiri dan pemimpin syarikat EcoTwin Step Sdn Bhd., Dr Hisham telah membimbing ribuan individu dari golongan profesional hingga selebriti keluar daripada belenggu tekanan, trauma dan kekeliruan diri.
Bukan sekadar berkongsi teori, Dr Healing membina hubungan berteraskan empati dan keselamatan emosi yang membolehkan seseorang benar-benar ‘membuka diri’ untuk proses penyembuhan dalaman.
“Apa yang saya paling hargai ialah cara beliau memahami tanpa perlu saya banyak menjelaskan. Dia tahu bila nak dengar, bila nak menenangkan, dan bila masa yang sesuai untuk beri kekuatan. Itu keistimewaan Dr Healing,” kata Azharina.

Dr Hisham yang berkelulusan PhD dalam bidang Pembelajaran Sepanjang Hayat dari United Kingdom juga aktif menerajui pelbagai inisiatif seperti Healing the Inner Child, Impactful Leadership dan program transformasi peribadi lain yang mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat.
Malah, beberapa rakan artis dan figura awam juga dilihat mula menyertai sesi kendalian Dr Healing, termasuk usahawan, pengacara dan remaja yang sedang mencari semula arah hidup.
Kesan dari sesi tersebut, Azharina kini melihat karier seninya dengan perspektif berbeza. Tidak lagi sekadar hiburan, tetapi sebagai satu bentuk ekspresi penyembuhan diri.
“Bila jiwa kita sembuh, suara pun keluar dari tempat yang jujur. Saya nyanyi sekarang dengan hati yang lebih ringan dan ikhlas,” tuturnya menutup bicara.



