Saya tak cemburu – TMJ

Saya tak cemburu – TMJ

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberitahu beliau langsung tidak cemburu ketika mempertikaikan kos pembinaan Stadium Shah Alam baru-baru ini.

Sebaliknya, pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam satu hantaran di Instagram Story memberitahu niatnya untuk memastikan rakyat tidak diperbodohkan dengan kos yang dianggap tidak logik.

Dalam hantaran itu, beliau turut membandingkan kos pembinaan Stadium Shah Alam dengan Singapore Sport Hub yang keluasan lebih kecil daripada venue bakal dibina kelak.

Berdasarkan hantaran dikongsikan TMJ, kos pembinaan Singapore Sport Hub menelan belanja, SGD1.3 billion (RM4.2 billion), SGD68 juta (RM219 juta) bagi kos penyelenggaraan setahun dan dianggarkan sekitar SGD2.3 billion (RM7.4 billion) untuk kerajaan Singapura menamatkan perkongsian awam swasta (PPP) pada ogos 2022.

“Kalau Singapore Sports Hub pun pembinaan dan maintenance setinggi itu, bagaimana stadium mempunyai teknologi yang lebih cangih lagi murah.

“Ini adalah kos Singapore Sport Hub untuk saiz 35 hektar bayangkan kos untuk projek bersai 76 hektar.

“Kalau SNBJ (Stadium Nasional Bukit Jalil) terkial-kial nak maintain (selenggara), apatah lagi kerajaan negeri.

“Dengan nama ALLAH SWT, saya tak cemburu. Saya hanya mushkil dan juga tak suka rakyat diperbodohkan,”tulisnya.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan sebanyak RM787 juta diperuntukkan untuk membina stadium baharu menggantikan Stadium Shah Alam.

Konsep Stadium baharu Shah Alam itu diperkenalkan kepada umum yang dijangka mampu menampung kapasiti 35,000 hingga 45,000 tempat duduk dalam sesuatu masa.

Stadium itu yang dijangka siap pada 2026 dilengkapi papan skor elektronik, ruang legar mesra orang kelainan upaya (OKU), ruang korporat dan bilik persalinan.

Selain itu, stadium itu dilengkapi kawalan kelembapan dalaman, ‘ETFE ceramic coating’ dan sistem penyejukan tempat duduk selain mempunyai teknologi ‘retractable pitch’ iaitu bertukar daripada mod sukan kepada acara dalaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd