mohamadridzuan@hmetro.com.my
NAMANYA popular dalam kalangan peminat, ditambah pula dengan kejayaan hebat mencipta nama di Amerika Syarikat (AS).
Bagaimanapun, ia langsung tidak mengubah pendirian Yuna dalam melahirkan empati terhadap rakyat Palestin yang ditindas oleh rejim Zionis.
Yuna, 39, atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zara’ai berkata, dia sentiasa bekerja secara profesional dengan semua orang tanpa memilih bulu.
Namun, katanya, pada masa sama, dia kekal dengan pendirian tidak akan bekerja dengan mana-mana artis atau jenama yang bukan pro Palestin.
“Jika kamu bukan seorang yang pro Palestin, saya tak mahu bekerja dengan kamu. Muktamad. Sebenarnya saya sudah banyak kali cakap tidak.
“Ada seorang DJ ini nak pakai lagu saya, tapi dia tidak pro Palestin. Dia memang sangat berpengaruh dan macam ada 38 juta pengikut sebab DJ kan banyak pengikut.
“Jadi, saya pun kena cakap dengan pengurus saya, tidak, saya tak boleh ambil ‘job’ (kerja). Jadi memang akan ada berselisih dekat situ kan,” katanya.
Situasi ini tidak sesekali menjejaskannya, malah Yuna bersyukur karier seninya tetap sukses seperti biasa.
“Saya sekarang di Malaysia, saya buat hal saya dan ada peluang bekerja contohnya dengan orang macam Olmo Zucca (seorang penerbit yang pro Palestin) untuk EP akan datang.
“Dia sedia kiranya macam berkongsi sentimen (pro Palestin) macam saya. Cuma mungkin sesetengah mereka tak vokal (bersuara) lah.
“Kita tak boleh paksa orang vokal kan. Jadi sekurang-kurangnya, jika kamu kongsi sentimen sama, kamu faham dan tahu benda itu, saya boleh bekerja dengan kamu,” katanya.
Yuna menambah, baginya karier antarabangsanya tetap berjalan seperti biasa tetapi dia bersikap lebih selektif sekarang.
“Pada saya, ada masa-masa macam saya seorang saja yang macam ini. Jadi perasaannya seperti berseorangan. Tapi sekarang saya tengok okay sudah ada pergerakan macam ini.
“Orang makin lama makin okay apabila sudah berani bercakap. Kelihatan makin teruk apa yang terjadi di Palestin dan tak boleh nak abaikan. Ya insya-Allah harapan untuk kemanusiaan.
“Sekarang masa untuk artis bersuara, untuk lebih vokal termasuk saya. Saya rasa motivasi saya hanyalah untuk memiliki kehidupan yang tenang, serta dapat menghasilkan muzik dan menggunakan suara saya,” katanya.
Menurutnya, dia mempunyai kebebasan untuk bersuara lantang serta bebas menghasilkan muzik yang dimahukan.
“Sekiranya ada pihak mahu bekerjasama dengan saya, silakan, bekerjasamalah dengan saya. Jika tidak… tak mengapa. Saya sangat gembira dengan kedudukan saya sekarang.
“Jelas sekali dunia kini berada dalam keadaan yang menyedihkan, namun saya cuba sedaya upaya untuk menyumbang dan menggunakan platform saya untuk melakukan sesuatu yang baik.
“Tidak menjadi masalah jika saya tidak bekerjasama dengan artis antarabangsa sekalipun,” katanya yang kekal positif dalam kehidupan.
Katanya, walaupun dirinya tidak begitu aktif, dia gembira apabila diberikan peluang menghasilkan lagu bersama Diplo.
“Situasinya seperti, awak mahu gunakan lagu itu? Baiklah, tiada masalah. Jadi, peluang-peluang sebegitu datang secara tiba-tiba. Apapun, insya-Allah kita lihatlah apa yang akan berlaku pada masa hadapan.
“Buat masa ini, saya hanya fokus menghasilkan muzik menerusi album mini (EP) The Valour Hour tidak lama lagi serta menjayakan konsert The Valour Hour di Malaysia, tahun depan.
“Jika ada peluang tahun hadapan, saya teringin untuk mengadakan satu persembahan di LA (Los Angeles) dan satu lagi di New York. Kiranya seperti ‘The Valour Hour’ edisi New York dan LA,” katanya.
Yuna yang baru sahaja melancarkan jenama fesyen YZ Label memilih Zepp Kuala Lumpur sebagai venue konsertnya pada 7 Februari 2026.
Album mini (EP) The Valour Hour menyaksikan Yuna bekerjasama dengan komposer yang juga pemenang Anugerah Grammy ke-66, Olmo Zucca bagi penghasilan tiga lagu dalam EP terbabit.
© New Straits Times Press (M) Bhd




