Bekas anggota kumpulan Dolla, Syasya Rizal tampil menjelaskan kekeliruan yang timbul mengenai punca sebenar dia mengundurkan diri daripada kumpulan popular itu.
Menerusi satu hantaran di platform X, Syasya menafikan pernah mengeluarkan kenyataan dia akan melanjutkan pengajian ke luar negara mengikut suami seperti yang hangat diperkatakan sebelum ini.
“Sejujurnya, saya tak pernah cakap nak sambung belajar di luar negara. Cerita itu sebenarnya datang daripada nenek saya semasa sesi temubual.
“Ketika itu dia agak gementar dan saya faham. Dia hanya cuba melindungi saya, dan saya sangat menghargai niat baik dia,” katanya.
Kenyataan itu dimuat naik bagi menjernihkan keadaan selepas timbul pelbagai spekulasi mengenai sebab sebenar dia meninggalkan Dolla.
Menolak dakwaan kononnya sudah ‘angkat kaki’ daripada dunia hiburan, Syasya menegaskan dia masih aktif berkarya walaupun kini bergelar isteri dan ibu.
“Saya masih menyanyi, masih berkongsi, masih belajar sebagai seorang isteri, seorang ibu, dan seorang gadis dengan impian yang besar. Insya-Allah,” katanya lagi.

Sebelum ini, peminat mula membuat andaian Syasya mengundurkan diri kerana mahu menumpukan perhatian kepada keluarga dan pelajaran, namun kenyataan terbaharunya itu menafikan semua khabar angin yang heboh sejak awal perkahwinannya bersama suami, Nasrullah Mohd Sapie.
Sekadar info, Syasya mendirikan rumah tangga bersama Nasrullah pada 20 April 2024 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Yassir Hayyan pada 23 Disember 2024.
Artikel Berkaitan: Syasya Rizal Bangga Kejayaan Dolla, Terus Beri Sokongan Meski Haluan Berbeza




