'Saya tak pernah rasa cinta sehebat cinta kepada anak'

'Saya tak pernah rasa cinta sehebat cinta kepada anak'

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Mula aktif berlakon sejak berusia 17 tahun dan ketika ini menghampiri usia 40-an termasuk sudah bergelar isteri dan ibu membuatkan Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al Yahya bertambah matang dalam membuat keputusan.

Masih memiliki cinta yang besar terhadap karier seni, namun keharmonian keluarga tetap diutamakan. Apatah lagi, cahaya mata sulungnya, Ahmed Mohsein baru berusia dua tahun.

Bersua Sharifah Amani atau mesra disapa Nani baru-baru ini, pemenang trofi Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-19 menerusi filem Gubra itu kini mengakui sukar berjauhan dengan anak.

“Selepas memiliki anak, saya tak nafikan berasa susah untuk berjauhan lama dengan Mohsein. Jadi bagi tawaran berlakon, saya ada buat dua iklan komersial tahun lalu sempena Aidilfitri dan merdeka.

“Selain itu, saya juga menulis skrip dan pernah mengarah. Karier seni sudah sebati dengan jiwa saya dan tidak boleh tinggal begitu sahaja. Tetapi, kerana anak, saya jadi susah nak tinggalkan dia.

“Apatah lagi, sekarang saya lebih memahami kebimbangan yang selama ini diceritakan ibu serta adik-beradik saya mengenai dilema mereka ingin tinggalkan anak. Begitu sukar dan sangat berat.

“Itu yang saya rasa jika mahu keluar bekerja dan terpaksa meninggalkan Mohsein dengan pembantu. Walaupun hanya tinggalkan dia sekejap, saya tetap selalu periksa kamera litar tertutup (CCTV),” katanya.

Ditanya juga sama ada pernah membawa anak ke lokasi penggambaran, isteri kepada ahli perniagaan, Ahmed Faris Amir ini memaklumkan dia belum pernah bertindak demikian.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana pembantu yang berkhidmat dengan saya untuk menjaga Mohsein memang boleh dipercayai. Ini kerana pembantu itu sudah lama bersama keluarga kami.

“Sejak usia saya 20 tahun, dia (pembantu) sudah berkhidmat dengan mama dan kemudian adik-beradik yang lain. Kami bergilir-gilir.

“Sekarang pembantu itu menetap dengan saya. Tapi, sebab kita tidak pernah jadi ibu dan ini pengalaman pertama, jadi perasaannya lain macam. Saya tak pernah rasa cinta yang sehebat cinta kepada anak,” katanya.

Ditanya juga penerimaan suami terhadap karier seni yang masih diteruskan hingga sekarang, Sharifah Amani berkata, dia rasa bertuah kerana minat terhadap bidang lakonan tidak pernah dihalang.

“Alhamdulillah, saya dipertemukan jodoh oleh Allah dengan suami yang sangat memahami dan menyokong impian kerjaya saya. Dia (suami) izinkan saya untuk teruskan dalam karier ini.

“Suami saya sentiasa jadi penyokong dan dia juga percaya dengan impian saya. Dia selalu ada di belakang saya dan kehadirannya satu rezeki yang sangat saya syukuri,” katanya.

Berbicara mengenai karya lakonannya, Sharifah Amani mengakui dia begitu selektif dalam memilih watak yang hendak dilakonkan dan berfikir dengan teliti setiap tawaran diterima.

“Sejak dulu lagi ketika mula-mula berlakon, saya selesa terima naskhah berkualiti serta karekter akan dibawa itu sesuai. Jadi, kalau nak ambil suatu tawaran berlakon, saya memang teliti.

“Ini kerana saya hanya mahu fokus kepada watak dan jalan cerita yang bagus. Termasuk, saya juga sedia bekerjasama dengan pasukan yang saya suka sebab buat kita seronok bekerja.

“Apatah lagi untuk watak, rasanya saya dah pernah buat pelbagai karekter sepanjang aktif berlakon dari sebelum kahwin, bernikah dan ada anak. Saya rasa sudah buat semua,” katanya.

Mengulas pula kerjasama dengan rakan industri seperti Tam Suhaimi yang sudah berlakon sejak 1987, Sharifah Amani berkata, dia tidak mengambil masa lama untuk menerima tawaran kerana yakin dengan karya sentuhan lelaki itu.

“Saya dah kenal dan berkawan dengan Tam lama. Jadi, apabila dia beri saya watak Maya dalam telefilem Fantasi Fiksi, saya okey untuk terima kerana tahu Tam adalah penggiat seni berkaliber.

“Kemudian, saya dapati ada rakan pelakon lain seperti Liyana Jasmay, Iedil Dzuhrie dan ramai lagi yang saya rasa ini pasukan yang ‘best’. Ditambah, garapan skrip juga sangat menarik.

“Maka, saya terima dan pengalaman bekerja dengan semua barisan pelakon memang seronok. Kami masing-masing mudah mencipta ‘chemistry’ dalam watak dan amat menghiburkan,” katanya.

Selain telefilem, mengulas juga tawaran berlakon filem, Sharifah Amani memberitahu buat masa ini dia memilih tidak berkongsi lagi mengenai apa-apa tawaran rezeki sehingga sampai masanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top