Pelakon Nadia Brian berkongsi keadaan kesihatannya yang kini semakin pulih selepas disahkan dijangkiti wabak Influenza A sejak Isnin lalu.
Menurut Nadia, dia kini sedang menjalani tempoh kuarantin di rumah bagi mengelak penularan jangkitan kepada ahli keluarga, terutama ibu dan neneknya.
Dalam pada itu, dia juga mengakui jangkitan Influenza A ini adalah yang paling teruk dan sakit yang pernah dialaminya.
“Saya tak pernah rasa sakit yang dahsyat sebegini. Influenza ni buat seluruh tubuh badan saya seperti tidak berfungsi.
“Alhamdulillah, saya makin baik dan masih menjalani tempoh kuarantin di rumah dan haya hanya duduk dalam bilik sahaja kerana bimbang wabak ini dijangkiti ahli keluarga yang lain terutamanya ibu dan nenek,” katanya.

Mengulas lanjut, Nadia atau nama lengkapnya, Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 34, mengakui keadaan kesihatannya kini sedikit sebanyak menganggu jadual penggambarannya.
“Sekarang ni saya masih ada baki satu hari sahaja lagi penggambaran.
“Saya harap lepas ni, mungkin boleh ketatkan undang-undang untuk berlakon atau sebelum menjalani sesi penggambaran mesti ambil suntikan anti-influenza atau vaksin terlebih dahulu.
“Sebab kesihatan semua pihak yang terlibat sangat penting bagi memastikan kelancaran sesi penggambaran,” jelasnya.
Terdahulu, menerusi satu hantaran di Threads, Nadia memaklumkan dirinya mengalami demam Influenza A hingga menyebabkan tekak berdarah, batuk serta selsema.
“Setiap hembusan nafas rasa berat. Influenza A memang tak main-main,”tulisnya pada hantaran berkenaan.




