‘Saya tak suka lelaki banyak cakap’

‘Saya tak suka lelaki banyak cakap’

Ketika ramai wanita seusianya sibuk berbicara soal jodoh dan perkahwinan, barangkali ada yang tidak menyangka, pelakon dan pempengaruh jelita, Scha Elinnea, nampaknya memilih untuk ‘bercinta’ dengan kerjayanya.

Tidak direka-reka, hal itu diceritakan sendiri oleh pelakon berusia 26 tahun ini yang mengakui bahawa sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk dirinya memikirkan soal cinta apatah lagi tentang perkahwinan.

Baginya, dia tidak perlu tergesa-gesa tentang hal itu lantaran percaya pada perancangan Tuhan dan waktu yang tepat.

Bagaimanapun, jika berbicara soal lelaki idaman, Scha tidak kisah untuk berkongsi cerita mengenainya meskipun sedar soal jodoh, itu semua di tangan Tuhan.

Menurut pelakon drama Nuh & Layla ini, dia sebenarnya lebih tertarik dengan lelaki pendiam berbanding mereka yang banyak bercakap.

Ini kerana, akuinya, dia sendiri merupakan seorang wanita yang suka bersembang dan banyak cakap, maka jika pasangannya juga jenis yang sama, kelak dia dan pasangan kategori itu saling berlawan kata pula.

“Saya sebenarnya suka lelaki yang pendiam, tak banyak cakap. Sebab saya sendiri pun banyak bercakap. Kalau dua-dua banyak cakap, siapa nak menang nanti?” katanya berseloroh.

Bagaimanapun, kata Scha, itu tidak bermakna dia berharap bertemu dengan lelaki yang perlu selalu mengikuti katanya.

Selain itu, Scha berkata, dari segi rupa paras, dia menyukai lelaki yang tinggi, berkulit gelap dan memiliki raut wajah yang menarik.

Pendek kata, tall, dark and handsome adalah tagline terbaik untuk merangkumi kriteria jejaka pilihan hatinya.

“Sekarang saya cuma nak fokus pada diri sendiri. Bercinta dengan kerja dulu orang kata. Tahun ini dan tahun depan memang tak ada perancangan nak bercinta atau kahwin.

“Namun begitu, saya tidak menolak soal jodoh. Jika ditakdirkan bertemu pasangan yang sesuai lebih awal, itu semua urusan Tuhan.

“Tetapi kalau ditanya, saya sebenarnya mensasarkan usia 28 tahun untuk melangkah ke alam perkahwinan.

“Saya rasa umur itu adalah masa paling sesuai untuk saya kahwin. Tapi paling lewat pun sebelum umur 30 lah, Insya-Allah,”ujarnya.

Selain aktif dalam dunia lakonan, Scha juga kini melebarkan sayap dalam bidang perniagaan menerusi jenama kosmetik miliknya, Schaura.

Bercerita mengenainya, kata Scha, dia sudah lama memasang hajat untuk mempunyai perniagaan sendiri sebagai satu usaha meneroka cabang baharu selain bergelar pelakon.

“Schaura adalah produk berasaskan kosmetik. Saya pilih untuk hasilkan produk ini penjagaan bibir sebab saya memang suka tengok bibir orang bila bercakap.

“Bagi saya, bibir memainkan peranan penting pada wajah. Kalau tak pakai solekan pun, bibir kena ada life. Sebab tu saya fokus pada produk berkaitan bibir,” katanya.

Dalam pada itu, dari sudut seni lakon, Scha turut menyimpan impian untuk melakonkan watak yang lebih mencabar berbanding karakter gadis baik yang sering ditawarkan sebelum ini.

“Saya teringin sangat nak bawa watak perempuan psycho. Sampai sekarang belum pernah dapat lagi.

“Selalu saya bawa watak-watak baik. Jadi kali ini saya nak cuba karakter yang luar biasa, yang boleh cabar kemampuan lakonan saya,” katanya penuh semangat.

Scroll to Top