'Saya tak tahu nak jawab macam mana'

'Saya tak tahu nak jawab macam mana'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Cameron Highlands: “Ibu satu hari nanti saya nampak tak?” Itu soalan pernah diajukan Milliyya Sofea Mustaghfirin Hanifi, 6, atau nama manjanya Milliyya berikutan keadaan dirinya yang buta mata kiri akibat glaukoma kongenital iaitu penyakit menyebabkan gangguan penglihatan.

Pertanyaan itu membuatkan ibunya, Syuhada Redzuan, 33, hiba namun kini bersyukur kerana Milliyya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) penglihatan sudah mengerti dan boleh menerima keadaan diri.

“Milliyya tanya soalan itu dua tahun lalu iaitu ketika usianya empat tahun dan tersentak juga hingga saya tak tahu nak jawab macam mana.

“Tapi saya cuba terangkan juga yang mata kirinya sudah tak boleh melihat lagi. Saya beritahu Milliyya yang nanti saya nak dermakan mata buatnya tapi dia menangis tak bagi saya berbuat demikian. Akhirnya dia faham dan sampai sekarang tak tanya lagi soalan itu,” katanya kepada Harian Metro.

Berkongsi perihal Milliyya, Syuhada berkata, anak keempatnya itu didapati ada masalah mata selepas sebulan dilahirkan.

Pada awalnya, Syuhada menyangka anaknya itu hanya sakit mata namun pemeriksaan lanjut mengesahkan Milliyya menghidap glaukoma kongenital.

“Mulanya nampak mata Milliyya merah dan berair jadi ingatkan dia sakit mata biasa malah selepas pergi klinik pun, doktor kata yang sama serta beri ubat.

“Selepas seminggu, matanya semakin membesar jadi saya dengan suami bawa Milliyya ke klinik swasta sebelum doktor sahkan keadaan matanya agak kronik.

“Doktor di klinik kemudiannya beri surat untuk dirujuk ke hospital dan hasil ujian ujian Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) mendapati mata Milliyya kering serta tiada air di dalamnya,” katanya.

Kata Rafidah, Milliyya kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika berusia dua bulan dan hampir dua kali menjalani pembedahan mata.

“Kali pertama nak buat longkang mata tapi tak teruskan sebab mata membesar dan berisiko kerana masih bayi.

“Kali kedua pula tak teruskan kerana tekanan mata tinggi dan sejak itu tak buat sampai sekarang.

“Ada buat pemeriksaan susulan setiap enam bulan waktu kecil dulu namun sekarang tiada lagi dan hanya guna ubat titis mata,” katanya.

Sebagai ibu, tiada lain yang diharapkan Syuhada melainkan melihat Milliyya membesar dengan baik dan sihat.

Jika ada rezeki, Syuhada merancang membawa Milliyya menjalani pemasangan bola mata palsu apabila dewasa nanti.

“Cuma sekarang Milliyya masih kecil dan takut juga memikirkan dia nak masuk sekolah rendah tahun depan kerana bimbang diejek… tapi suami (Mustaghfirin Hanifi Mazhar, 33) minta fikir positif dan doakan semoga semuanya dalam keadaan baik.

“Setakat ini, nampak Milliyya seronok setiap kali nak pergi ke sekolah dan cikgu pun sayangkannya.

“Kelmarin (Jumaat lalu) pun dia bersemangat nak bagi guru kelasnya hadiah sempena Hari Guru dan saya bantu cari serta belikan walaupun dia nak bayar guna duit rayanya,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top