Saya tentukan masa depan sendiri – Verstappen

Saya tentukan masa depan sendiri – Verstappen

London: Max Verstappen masih mempunyai kontrak bersama Red Bull sehingga penghujung musim 2028, namun itu tidak menghalang spekulasi berterusan tentang kemungkinan perpindahannya ke Mercedes.

Individu yang kurang memberi komen mengenai perkara terbabit ialah juara dunia empat kali itu sendiri.

“Saya tidak perlu tambah apa-apa tentang itu,” kata Verstappen kepada Viaplay, ketika ditanya tentang komen terbaru bos Mercedes, Toto Wolff yang menunjukkan minat untuk mendapatkan khidmat pemandu berusia 27 tahun itu.

“Semakin banyak saya cakap, semakin banyak ia akan dilaporkan dalam media dan saya memang tidak mahu itu berlaku. Saya tentukan masa depan saya sendiri.”

Wolff mengesahkan minatnya terhadap Verstappen baru-baru ini apabila ditanya tentang komen pemandu Mercedes, George Russell yang berkata rundingan kontraknya tertangguh disebabkan minat pasukan Mercedes terhadap Verstappen.

Wolff menjelaskan bahawa minatnya terhadap Verstappen tidak ada kaitan dengan perbincangan kontrak baru untuk Russell, 27, yang akan tamat pada penghujung tahun ini.

“Pertama sekali, tiada kelewatan dalam situasi kontrak George kerana sejak awal lagi kami sudah jelas tentang masa yang sesuai,” kata Wolff kepada Sky Sports.

“Kami sudah saling mengenali sejak sekian lama, jadi tiada istilah ‘kelewatan’ di sini.

“Tetapi sebagai prinsipal pasukan bagi jenama kereta terbaik di dunia, sudah tentu anda akan meneroka apa yang mungkin dilakukan oleh seorang juara dunia empat kali pada masa akan datang dan ia mungkin dalam jangka masa panjang. Tapi itu langsung tidak memberi kesan kepada usaha kami memuktamadkan kontrak George.”

Kontrak Verstappen bersama Red Bull dilaporkan mengandungi klausa berkaitan prestasi, menjadikan kejayaan musim ini sangat penting dalam pelbagai aspek.

Ketika ini, dia berada di kedudukan ketiga dalam kedudukan keseluruhan pemandu dengan 155 mata selepas terpaksa menarik diri dari Grand Prix Austria pada Ahad lalu selepas perlanggaran dengan pemandu Mercedes, Kimi Antonelli, di selekoh ketiga pada pusingan pembukaan.

“Mestilah akan ada kemas kini, jadi saya tak boleh terus kata ia berlaku sekarang. Saya tak boleh beri jawapan muktamad sama ada musim ini berjaya atau tidak,” katanya mengenai prestasinya setakat ini.

“Saya rasa sekitar rehat musim panas nanti akan lebih jelas bagaimana prestasi musim ini. Tapi bukanlah saya tiba-tiba lebih banyak berfikir sekarang berbanding tahun lalu atau sebelumnya. Saya sangat tenang tentang semua ini dan cuma teruskan dengan apa yang saya buat.”

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top