'Saya terpaksa membuka mata saya seluas-luasnya'

'Saya terpaksa membuka mata saya seluas-luasnya'

Beijing: Seorang pemuda di China mendakwa matanya yang kecil menjadi punca kenderaan Xiaomi SU7 Max miliknya terus berbunyi mengeluarkan tanda amaran keletihan pemandu.

Oddity Central melaporkan, Li dari Wilayah Zhejiang China, baru-baru ini membeli kereta sedan elektrik (EV) Xiaomi SU7 Max yang dikuasakan oleh motor berkuasa yang mampu membawa kereta dari 0 hingga 96.56 kilometer per jam (km/j) dalam masa 2.78 saat sahaja.

Ia adalah salah satu EV yang paling diidamkan di dunia sekarang namun Li berdepan kesusahan untuk memandu.

Tidak lama selepas menaiki kenderaan baharunya, lelaki itu mula mendengar bunyi amaran ‘sila fokus pada pemanduan’ walaupun dia tidak terganggu dan memerhati jalan di hadapannya.

Mesej ‘fokus dengan pemanduan, beri perhatian kepada keselamatan’ terus muncul pada paparan digital kereta itu, dan dia mengambil sedikit masa untuk mengetahui bahawa matanya adalah masalah.

“Saya terpaksa membuka mata saya seluas-luasnya, dan kemudian saya tidak mendengar bunyi amaran.

“Tapi apabila saya membuka mata seperti biasa, saya mendengar bunyi amaran sekali lagi.

“Nampaknya, mata saya sangat kecil sehingga kereta menyangka saya akan tertidur,” kata Li dalam video yang tular di media sosial.

Dalam videonya, Li mengadu bahawa amaran keletihan kereta itu dicetuskan kira-kira 20 kali ketika pemanduan singkat dan berasa sangat menjengkelkan serta terganggu dengannya.

Menariknya, banyak komen pada klipnya adalah daripada pemandu kenderaan yang mendakwa mengalami masalah sama dengan kereta China lain daripada jenama seperti Lynk & Co, Deepal, dan lain-lain.

Pemilik Xiaomi SU7 lain mendakwa melaporkan isu yang sama ini kepada pengeluar.

Selepas video Li menjadi tular, Xiaomi mengeluarkan kenyataan, mendakwa bahawa pemandu itu mengalami fungsi pemantauan keletihan SU7.

Sistem itu mengesan keadaan pemandu melalui kamera yang dipasang pada stereng kenderaan.

Jika ia mengesan bahawa mereka terganggu atau letih, ia menghantar audio dan amaran bertulis pada paparan kereta.

Sekiranya pemandu tidak bertindak balas terhadap amaran ini, kereta mula memecut sehingga ia berhenti sepenuhnya.

Pembuat kereta China itu menjelaskan bahawa aplikasi pemantauan keletihan boleh dimatikan dalam tetapan namun tidak mengesyorkan pengguna berbuat demikian kerana faktor keselamatan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top