Penyanyi popular, Shila Amzah mendakwa dirinya menjadi mangsa serangan secara terbuka oleh seorang figura legenda industri seni tanah air ketika sesi latihan menjelang konsert yang bakal berlangsung Jumaat ini.
Menerusi hantaran di Instagram, Shila berkongsi rakaman video sewaktu melakukan latihan atas pentas bersama penari, namun turut menyelitkan luahan rasa kecewa dengan tindakan tidak profesional individu terbabit.
Lebih mengejutkan, Shila menyatakan gangguan itu berlaku secara terang-terangan di hadapan ramai pihak hingga mencetuskan gangguan emosi dan rasa tidak selamat.
“Agak menakutkan apabila seseorang yang dianggap legenda boleh menyerang saya secara terbuka di hadapan khalayak.
“Nasib baik awak sudah berumur. Tapi tindakan awak telah mencetuskan rasa cemas (anxiety) dan mengganggu keselamatan saya,” tulisnya.
Dalam pada itu, pembantu peribadinya, Aini Shuhaidah, turut tampil mempertahankan Shila dan menyifatkan tindakan figura berpengaruh itu sebagai keterlaluan dan tidak wajar berlaku di khalayak ramai.
“Saya tidak sangka, sebagai individu yang berpengalaman, dia sanggup bertindak sebegitu di hadapan ramai orang,” katanya.
Tidak berdiam diri, Aini memaklumkan bahawa pihaknya sudah mengambil tindakan undang-undang demi keselamatan Shila yang turut bergelar ibu kepada dua cahaya mata.
“Laporan polis sudah dibuat dan perintah sekatan sedang dalam proses,” jelasnya lagi.

Setakat ini, identiti figura legenda yang dimaksudkan masih belum didedahkan oleh Shila.




