‘Saya terus bangun dan lari’ – Mangsa tunggal terselamat imbas detik cemas nahas pesawat Air India

‘Saya terus bangun dan lari’ – Mangsa tunggal terselamat imbas detik cemas nahas pesawat Air India

AHMEDABAD – Dalam situasi pesawat Air India yang terbakar, seorang lelaki muncul dari kepungan api, cedera dan trauma, namun masih bernyawa.

Mangsa dikenali sebagai Ramesh Vishwaskumar, seorang warga Britain yang berada di tempat duduk 11A, terselamat dalam tragedi yang meragut nyawa 241 penumpang dan anak kapal lain.

“Dalam masa 30 saat selepas berlepas, saya dengar bunyi letupan yang kuat.

“Ada mayat di sekeliling saya. Saya panik, terus bangun dan lari. Serpihan kapal terbang ada di merata tempat,” katanya kepada wartawan tempatan yang berkumpul mengelilinginya dalam keadaan terkejut.

Ramesh mengalami kecederaan akibat hentakan pada bahagian dada, mata dan kaki, namun masih mampu bertahan untuk berkongsi pengalaman menakutkan itu.

Dalam satu rakaman video yang kini tular di media sosial, Ramesh kelihatan berjalan terhincut-hincut keluar dari serpihan pesawat, dengan pakaian koyak dan darah mengalir di wajah—satu gambaran ngeri tentang perjuangan untuk terus hidup.

Ramesh yang berasal dari India telah menetap di London sejak 20 tahun lalu bersama isteri dan anaknya.

Lawatannya ke tanah air kali ini sepatutnya menjadi kunjungan singkat untuk bertemu keluarga, namun bertukar menjadi mimpi ngeri yang hampir meragut nyawanya.

Namun, penderitaan yang dialaminya tidak terhenti setakat terselamat.

Abangnya, Ajay Vishwaskumar, turut berada dalam penerbangan yang sama dan kini dilaporkan hilang.

Dua rakan Ramesh bergegas ke Ahmedabad dari Diu sebaik mendapat berita tersebut, mengharapkan satu lagi keajaiban sambil berdepan ketidaktentuan.

“Kami masih belum tahu apa-apa. Keadaan sangat kelam-kabut. Mereka hanya mahu cari dia,” kata seorang jiran kepada wartawan.

Ramesh telah dihantar ke hospital dengan menaiki ambulans sejurus berjaya menyelamatkan diri dari lokasi nahas.

Menurut doktor, kecederaan yang dialaminya tidak mengancam nyawa, namun kesan emosi yang ditanggung dijangka berpanjangan. -Agensi

Scroll to Top