'Saya tiada halangan, sedia beri kerjasama' – Mahdzir

'Saya tiada halangan, sedia beri kerjasama' – Mahdzir

#taskid sendstory

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sedia memberi kerjasama dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu projek 1BestariNet, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Mahdzir yang memegang jawatan Menteri Pendidikan antara tahun 2015 hingga 2018 berkata, setakat ini beliau belum lagi menerima notis arahan untuk hadir ke pejabat SPRM.

“Setakat ini saya hanya dimaklumkan mengenai perkara itu melalui laporan portal media yang menyebut nama saya antara individu yang akan dipanggil oleh SPRM untuk membantu siasatan kes itu.

“Jadi saya tidak ada sebarang halangan dan bersedia untuk memberi kerjasama untuk membantu siasatan SPRM itu pada bila-bila masa jika saya diperlukan hadir untuk memberi keterangan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengatakan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk memanggil Mahdzir bagi membantu siasatan kes 1BestariNet yang membabitkan sebuah syarikat yang dilantik oleh kementerian untuk menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada 8,000 sekolah didakwa membuat tuntutan palsu.

Menurut sumber yang rapat dengan siasatan itu, nama Mahdzir adalah antara dalam senarai penyiasat selain bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mahdzir berkata, sebagai bekas Menteri Pendidikan, beliau memahami namanya akan termasuk di dalam senarai individu yang bakal dipanggil untuk memberi keterangan bagi melengkapkan proses siasatan oleh SPRM.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top