mhafis@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Pengarah dan penyanyi, Wee Meng Chee atau lebih dikenali sebagai Namewee, 42, tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, malam tadi, bagi membantu siasatan kes kematian seorang pempengaruh wanita warga Taiwan di sebuah hotel di sini, bulan lalu.
Namewee menerusi status di Facebooknya berkata, dia tiba di Kuala Lumpur dari Johor Bahru.
Menurutnya, dia hadir ke IPD Dang Wangi untuk membuat laporan polis dan memberi keterangan.
“Sekarang (malam tadi) saya sudah sampai di ibu pejabat polis seterusnya, saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak polis dalam siasatan, supaya masyarakat dan keluarga mangsa mendapat penjelasan yang sewajarnya.
“Saya tidak akan melarikan diri. Sebelum ini, dalam tujuh kali saya dipanggil oleh pihak berkuasa, saya sendiri yang tampil secara sukarela untuk memberi keterangan. Saya tidak pernah lari,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan siasatan menyeluruh berhubung kematian pempengaruh wanita warga Taiwan berusia 31 tahun itu dijalankan dari pelbagai sudut, termasuk kemungkinan menahan Namewee.
Ia berikutan penyanyi itu individu terakhir yang dikatakan berada bersama mangsa.
Pempengaruh itu ditemukan mati di dalam bilik air sebuah hotel di Jalan Conlay di sini, pada 22 Oktober lalu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




