Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan walaupun diasak daripada pelbagai pihak termasuk pembangkang, kecuali jika terbukti beliau menyeleweng atau mencuri wang rakyat.
Menurut Anwar, beliau tetap berpegang pada prinsip untuk tidak tunduk kepada tekanan politik selagi tidak melakukan sebarang kesalahan.
“Jadi, apabila ada yang desak saya supaya turun, saya kata Insya-Allah saya tidak akan turun kecuali kalau saya curi duit rakyat.
“Kalau saya curi, suruhlah saya turun. Tapi saya tak curi duit orang,” katanya, semalam.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, isu-isu lama yang sering dijadikan bahan serangan politik oleh pihak tertentu sudah tidak relevan, apatah lagi selepas hampir tiga tahun beliau memegang jawatan Perdana Menteri.
“Kes saya yang lama itu, lamalah. Saya jadi Perdana Menteri ini sudah masuk tiga tahun.
“Saya dah nyatakan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kalau ada kes, saya tak akan pertahan dan kalau ada pemimpin yang miliki kekayaan RM100 juta, dia kena jawab,” katanya lagi.
Artikel lain: PM Anwar kekal terbuka, tak akan ambil tindakan ‘suara berbeza’ dalam parti -Fahmi
Anwar turut menegaskan bahawa pihak yang ingin mencabarnya secara politik perlu menggunakan saluran yang betul seperti melalui Parlimen.
“Guna Parlimen kritik. Kalau dia (pembangkang) ada cukup jumlah, dia bawa usul. Itu cara dia.
“Tariklah mana-mana Ahli Parlimen nak sokong dia, sokong. Kalau saya kalah, saya letak dengan baik. Itu cara aman. Kalau tidak, tunggulah pilihan rakyat (pilihan raya),” katanya.
Sumber: Kosmo! Online (Safina Ramli)