'Saya tidak bekerja, cuma tidur di bengkel ini'

'Saya tidak bekerja, cuma tidur di bengkel ini'

harisfadli@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Datang melancong sahaja, saya tidak bekerja cuma tidur di bengkel ini sementara kawan saya ke Johor,” kata seorang warga asing selepas ditahan dalam Ops Mahid dan Ops Minyak di dua premis berasingan di Sentul, di sini, hari ini.

Itu antara alasan diberikan lelaki warga Pakistan berusia 40-an itu bagi mengelak daripada ditahan pihak berkuasa dalam serbuan jam 4.30 petang berkenaan.

Lelaki itu antara 32 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di bengkel kereta dan stor gas petroleum cecair (LPG), di sini yang terletak bersebelahan.

Ketika serbuan, keadaan bertukar kecoh apabila kesemua pekerja warga asing di kedua-dua premis cuba melarikan diri namun perbuatan itu sia-sia kerana kawasan itu sudah dikepung oleh Bahagian Penguatkuasaan JIM Kuala Lumpur.

Wartawan Harian Metro yang mengikuti operasi itu mendapati kesemua pekerja warga asing terbabit tinggal di bilik kecil yang diperbuat daripada kayu dan zink di bahagian belakang bengkel terbabit.

Walaupun bilik berkenaan kecil, bersepah dan kotor namun ia dilengkapi kemudahan asas seperti almari, tilam, penyaman udara, tandas serta dapur.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff, berkata serbuan dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, operasi itu dilaksanakan susulan risikan selama dua minggu berikutan aduan awam berhubung kegiatan majikan yang menggajikan Pati di premis terbabit.

“Seramai 33 individu ditahan terdiri daripada 31 lelaki dan seorang wanita warga asing berusia lingkungan 24 hingga 50 tahun didapati memiliki pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Seorang pengurus/majikan iaitu lelaki tempatan berusia 27 tahun turut ditahan di stor LPG berkenaan bagi membantu siasatan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini hari ini.

Katanya, kesemua Pati ditahan terdiri daripada lelaki warga India seramai lima orang, Bangladesh (7), Pakistan (17), dan dua lelaki serta seorang wanita Indonesia.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan merana didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1) C, Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, dan Peraturan 39B.

“Kita akan laksanakan penguatkuasaan 360 darjah melibatkan Pati, majikan, barangan, pendaftaran syarikat, pematuhan undang-undang tempatan dan sebagainya.

Tindakan operasi dan penguatkuasaan akan terus dijalankan bagi memastikan tindakan tegas diambil kepada mana-mana premis yang didapati menggajikan Pati.

“Perkara ini selaras dengan hasrat bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai ibu kota yang selamat serta kondusif,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top