am@hmetro.com.my
Johor Bahru : Rakyat Malaysia yang ditimpa kemalangan di Ekspreswe Ayer Rajah (AYE) Singapura, Akif-Zarr Ukasyah, 28 selamat dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dekat Kubang Kerian, Kelantan, kelmarin.
Ibunya, Ku Amazon Tuan Yusof, 56, berkata Akif dibawa menaiki ambulans dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada jam 7 pagi untuk meneruskan rawatan ke HUSM.
Katanya keadaan paru-paru anaknya itu bertambah baik, namun doa dari rakyat Malaysia masih diharapkan.
“Keadaan kaki Akif sama seperti mula kemalangan dan tidak banyak berubah. Alhamdulillah sudah dapat dipindahkan ke HUSM untuk rawatan seterusnya, kami bersyukur.
“Penghantaran Akif ke HUSM menaiki ambulans hasil sumbangan yang dihulurkan rakyat. Kami masih lagi mengharapkan doa seluruh rakyat Malaysia untuk Akif sembuh dan dapat berjalan kembali,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ku Amazon berkata, kemalangan ini menyebabkan kehidupan anak kedua yang menjadi harapan keluarga berubah 360 darjah.
“Saya tidak dapat bayangkan gelodak jiwa, emosi dan perasaan Akif, hanya Allah yang maha mengetahui.
“Susah hendak digambarkan perasaan dan jiwanya, hidupnya sudah berubah, dari seorang anak yang menjadi harapan keluarga, yang kuat berbakti kepada ibu, ayah dan adik-adik, kini dia tidak boleh berjalan mungkin dalam tempoh yang lama,” katanya.
Pada Jumaat lalu, Akif berjaya dipindahkan ke HSA sejurus membayar 50 peratus kos perubatan selepas dirawat di unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Universiti Nasional (NUH) Singapura, sejak kemalangan berlaku pada 17 Oktober lalu.
Pada 23 Oktober lalu, media melaporkan sebuah keluarga merayu bantuan membiayai kos rawatan Akif di ICU, NUH Singapura yang berjumlah S$110,537.60, bersamaan hampir RM364,466.
Ia selepas Akif yang dalam perjalanan pulang ke Johor Bahru dari tempat kerja digilis sebuah motosikal berkuasa tinggi selepas terjatuh dari motosikalnya kerana cuba mengelak kemalangan lain.
© New Straits Times Press (M) Bhd




