NAMPAK seperti agak jelas apa yang disebut tetapi hakikatnya kenyataan itu masih samar-samar dan memerlukan perincian apa yang dimaksudkan ‘Tuhan’ olehnya.
Advertisement
‘Tuhan’ bagaimanakah yang dia tidak percaya itu? Adakah ‘Tuhan’ yang dia tidak percaya itu zalim? Adakah ‘Tuhan’ yang dia tidak percaya itu mengelirukan?
Ramai yang menggunakan big words tetapi maksudnya samar-samar yang memerlukan takrifan kerana perkataan yang sama boleh difahami menurut perspektif masing-masing.
Satu lagi contoh, toleransi. Well, perkataan toleransi itu bunyinya bagus dan kelihatan bagus. Namun apakah yang dimaksudkan sebagai toleransi oleh mereka yang mengungkapkan perkataan itu?
Barangkali toleransi yang dia maksudkan adalah kita menerima pendapat dan gaya hidup orang lain yang berbeza dengan kita ataupun kita tidak setuju dengannya.
Namun, apakah toleransi ini dua hala di mana pihak lain juga boleh menerima pendapat dan gaya hidup orang lain yang berbeza atau ianya hanya sehala iaitu kita mesti menerima mereka walaupun tidak setuju dan tidak boleh mengkritik atau tidak bersetuju dengan mereka kerana jikalau kita tidak bersetuju dengan mereka maka kita adalah ekstrem tetapi bila mereka tidak bersetuju dengan pendapat dan gaya hidup kita, maka itu no problem dan andai kita membantah, kita juga yang digelar ekstrem?
Oleh itu dalam kursus metodologi dakwah fasa dua di mana saya mengajar mengenai komunikasi dalam dakwah, saya mengatakan bahawa jangan cepat membuat kesimpulan lalu menjawab sehinggalah kita memahami apakah maksud sebenar yang ingin disampaikan oleh prospek kerana risau apa yang kita fahami bukanlah apa yang prospek kehendaki dan fahami.
Saya juga sering mengingatkan bahawa jangan mudah takjub dan teruja dengan perkataan-perkataan yang bombastik seperti ‘kita kena berubah’ kerana kalau kita sanggup berfikir lebih mendalam, maka kita akan ada persoalan;
“Berubah itu perkataan yang bagus tetapi kita sebenarnya nak berubah dari apa kepada apa? Bagaimana dan apakah end goal kita?”
Tetapi kerapkali manusia akan mudah takjub dan teruja mendengar perkataan yang bombastik lalu meletakkan imaginasi positif atau negatif mereka dalam perkataan yang mereka dengar.
Maka berhati-hatilah dengan perkataan-perkataan yang bombastik dan gunakan akal kita untuk berfikir dan menilai sebelum merasa takjub mahupun teruja. Wallahualam.
FIRDAUS WONG WAI HUNG
Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) – HARAKAHDAILY 4/1/2023
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.





