'Saya tidak pernah bercakap, ulas berhubung kes Zara Qairina' – Dr Shamsul Anuar

'Saya tidak pernah bercakap, ulas berhubung kes Zara Qairina' – Dr Shamsul Anuar

rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah membuat laporan polis berhubung fitnah terhadap dirinya mengenai kes kematian Zara Qairina Mahathir.

Beliau berkata tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes itu.

“Saya tidak pernah bercakap dan mengulas apa-apa berkaitan kes Allahyarhamah Zara Qairina.

“Ia jelas suatu tindakan jahat dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan di akaun Facebooknya, hari ini.

Selain laporan polis, Dr Shamsul turut membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, tular tangkap layar kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri berhubung kes pelajar Tingkatan Satu itu.

Media sebelum ini melaporkan, MCMC menjalankan siasatan terhadap penyebaran kandungan di media sosial berkaitan kes Zara Qairina.

MCMC dalam kenyataan dilapor memaklumkan kandungan itu dipercayai mengandungi maklumat palsu dan bersifat 3R (kaum, agama dan institusi diraja).

Hari ini, empat pakar patologi termasuk Pakar Perunding Patologi Forensik dari Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor dipanggil membantu proses bedah siasat jenazah Allahyarham Zara Qairina yang dilakukan di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu, Sabah.

Pakar terbabit, Dr Khairul Anuar Zainun mengendalikan proses bedah siasat bersama Pakar Patologi HQE, Dr Jessie Hiu dengan dibantu dua lagi doktor.

Pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan tidak sedarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datuk Mustapha di Papar pada 16 Julai dan meninggal dunia keesokannya di HQE.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top