Meskipun sedih dengan pemergian isteri tercinta, Nadia Kesuma, suaminya, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah menzahirkan rasa reda dengan ujian yang menimpa apatah lagi terdapat pelbagai spekulasi, kenyataan dan komen yang tular di media sosial.
Bagaimanapun, menerusi video yang dimuat naik oleh Nuh Travel, beliau berlapang dada dan memilih tidak menyalahkan mana-mana pihak.
“Saya sedar banyak komen-komen yang negatif berhubung kematian isteri, Allahyarham Nadia Kesuma. Saya tak salahkan siapa-siapa.
“Saya reda dengan ketentuan Allah dan tidak menyalahkan sesiapa terhadap segala komen yang timbul,”katanya.
Tambahnya, pemergian Allahyarham ke Tanah Suci seolah-olah sudah menjadi impian isterinya sejak pulang daripada menunaikan umrah tahun lalu.
“Sejak balik umrah tahun lepas, dia sering menyebut mahu ke sana lagi.
“Rupanya Allah memilih bumi anbiya ini sebagai tempat terakhirnya. Masya-Allah,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN:Rakaman CCTV Jadi Bukti Arwah Nadia Kesuma Rebah Di Lapangan Terbang Jeddah
ARTIKEL BERKAITAN:Jenazah Nadia Kesuma Bakal Dikebumikan Di Arab Saudi, Suami & Anak Bakal Terbang Ke Jeddah Pagi Ini
ARTIKEL BERKAITAN:Nadia Kesuma Meninggal Dunia Di Jeddah, Suami & Anak Kongsi Khabar Duka
ARTIKEL BERKAITAN:Suami Nadia Kesuma Perjelas Salah Faham Kenyataan ‘I Met Strangers’ – “Dia Share Umrah Kali Ini Berbeza…”
Terkini, Muhammad Kamarul menerusi hantaran di media sosial miliknya memaklumkan, jenazah isterinya akan dikebumikan selepas Subuh.
“Jenazah sudah dimandikan oleh anak (Sarah dan kawan arwah) dan sudah disembahyangkan dan diimamkan sendiri oleh saya. Alhamdulillah.
“Jenazah akan dikebumikan selepas Subuh (sekarang jam 1.33 pagi, waktu Jeddah). Subuh jam 5.44 pagi waktu tempatan,” kongsinya.

Sebelum ini, Allahyarham dilaporkan hilang selepas gagal dikesan ketika transit di lapangan terbang di Jeddah ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke London.
Nadia Kesuma adalah sebahagian daripada 21 peserta pakej lawatan Umrah Ziarah London Paris dianjurkan Nuh Travel & Tours Sdn Bhd.
Mereka berlepas dari Kuala Lumpur dan transit di Jeddah, seterusnya ke London dan Paris, sebelum kembali ke Arab Saudi untuk menunaikan umrah.




