Saya tinggalkan tugas dengan hati yang tenang – Presiden Mahkamah Rayuan

Saya tinggalkan tugas dengan hati yang tenang – Presiden Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA: “Saya meninggalkan tugas ini dengan penuh rasa syukur, keinsafan dan hati yang tenang.”

Itu bingkisan ringkas daripada Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim kepada media selepas menamatkan perkhidmatannya hari ini.

Abang Iskandar yang genap mencapai umur persaraan 66 tahun esok, turut meluahkan perasaan beliau yang bercampur baur.

Sama seperti bekas Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Abang Iskandar turut tidak ditawarkan lanjutan perkhidmatan bagi tempoh enam bulan.

“Perasaan saya hari ini sesungguhnya bercampur baur antara gembira dan sedih.

“Selepas ini, saya akan memulakan fasa baru dalam kehidupan saya, dengan lebih masa untuk keluarga, aktiviti-aktiviti amal dan hobi.

“Sejujurnya, saya pasti akan merindui suasana kerja, persahabatan dan wajah-wajah mereka yang saya temui setiap hari,” kata Abang Iskandar dalam nota kata akhir beliau.

Ujarnya, tempoh 18 tahun sebagai seorang Hakim merupakan satu tempoh yang penuh dengan liku, penuh warna dan kenangan yang bermakna.

Pada 20 Februari 2020, Abang Iskandar telah dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak menjadikan beliau individu pertama dari Bumi Kenyalang yang memegang jawatan berkenaan.

“Saya bersyukur atas segala peluang yang diberikan yang telah saya lalui sepanjang karier ini.

“Dalam tempoh tersebut, saya telah bertemu dengan ramai insan yang baik, berdedikasi dan berhati mulia dikalangan para Hakim, warga Mahkamah, pengamal undang-undang dan ahli akademik yang sentiasa memberikan kerjasama yang baik demi menegakkan keadilan sejagat.

“Maka, ia telah mempermudahkan urusan saya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang saya galas sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan juga sebagai seorang Hakim Mahkamah Persekutuan.

“Sumbangan mereka semua amatlah saya hargai,” ujarnya.

Sebelum menjadi Hakim, Abang Iskandar pernah mengetuai Unit Jenayah Am dan Unit Jenayah Komersial, Jabatan Peguam Megara.

Beliau juga pernah menjadi Ketua Unit Pendakwaan Bank Negara Malaysia dan Pengarah Pengarah Bahagian Penguatkuasaan, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Kuala Lumpur.

Abang Iskandar turut mendoakan generasi pelapis Badan Kehakiman akan terus menegakkan keadilan tanpa rasa takut.

Ujarnya, beliau yakin dan yakin generasi pelapis di kalangan Hakim-Hakim akan mentadbir dan menegakkan sistem keadilan dengan telus, jujur dan amanah, dan tanpa rasa takut, gentar atau pilih kasih.

“Terima kasih atas persahabatan, dan sokongan yang diberikan kepada saya selama ini.

“Saya doakan agar mereka semua terus berjaya dalam kerjaya dan kehidupan keluarga masing masing. Sekian, terima kasih,”katanya di hari akhir perkhidmatannya. – UTUSAN

Scroll to Top