norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya terkejut bila mendapat tahu berita penangkapan itu. Sebab selama mengenali penyanyi wanita terbabit, dia seorang yang berpesonaliti baik, cakap lemah lembut, menghormati orang dan senang bekerjsama,” kata komposer lagu Kelantan terkenal, Eddie Hamid.
Eddie atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Adenan, 62, berkata, sukar untuk dia mempercayai berita penangkapan yang tersebar itu pada awalnya dan menganggap penyanyi berkenaan mungkin ‘terjerat’ dalam keadaan kerana berkumpulan.
“Saya yakin dia (penyanyi wanita) tidak bersalah. Cuma, mungkin mangsa keadaan sebab dia ke sana (Sungai Golok Thailand) secara berkumpulan. Apapun, saya doakan yang terbaik untuk urusan dia di sana.
“Saya harap dia okay saja sebab undang-undang dadah di Thailand tidak sama dengan undang-undang di negara kita. Bagaimanapun, inilah yang dinamakan ujian kehidupan.
“Tapi, saya sebenarnya ada kerjasama baharu dengan dia untuk merakamkan dua lagu. Salah satunya, dia akan masuk ke studio untuk rakaman lagu pada Isnin ini dan kenalah ditangguhkan dulu,” katanya kepada Harian Metro.
Ditanya juga sama ada dia bercadang mahu menukar penyanyi lain, Eddie berkata, dia tidak akan berbuat demikian kerana menyifatkan lagu yang diciptanya itu sudah sesuai dengan vokal wanita berkenaan.
“Saya akan tetap tunggu dia hingga kes (dadah) itu selesai. Ini kerana, dua lagu yang sudah saya cipta itu memang sesuai dengan vokalnya. Lagi pun, kita juga belum tahu yang dia betul-betul bersalah atau tidak kerana masih disiasat.
“Apatah lagi, saya pun ada mengirimkan kepadanya demo lirik lagu yang akan dirakam itu dan dia pun dah tahu perancangan masuk ke studio untuk rakaman. Bagi saya, apa yang berlakuini adalah dugaan yang daripada Allah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan mengenai enam individu termasuk seorang penyanyi wanita popular di Kelantan antara yang ditahan di Sungai Golok, Thailand berkaitan kes dadah.
Artis wanita itu dikatakan pernah mempopularkan lagu dengan dialek Kelantan yang tular serta menjadi fenomena ramai di seluruh Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




