Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan bahawa Perjanjian Kepercayaan dan Perbekalan (CSA) bukan sesuatu yang baharu dalam landskap politik negara, sebaliknya merupakan inisiatif yang diperkenalkan ketika beliau menerajui pentadbiran kerajaan sebelum ini.
Kerjasama perlu diteruskan walau luar musim pilihan raya
Memetik laporan daripada Sinar Harian, beliau menyatakan kerjasama antara parti politik perlu diteruskan walaupun di luar musim pilihan raya bagi mengelakkan permusuhan politik berpanjangan.
“CSA bukan perkara baharu, saya yang mulakan CSA dulu dan kalau boleh semua kena kerjasama sebenarnya.
“Kalau waktu pilihan raya bolehlah kita bertentang-bertentang, tapi luar daripada pilihan raya ini, tidak ada sebab kita nak teruskan permusuhan itu,” katanya.
Foto: FB Ismail Sabri
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program walkabout dan sarapan pagi bersama calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Dr Mustafa Musa.
Kerajaan boleh dedahkan kandungan CSA
Mengulas mengenai kandungan perjanjian berkenaan, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan ketika ini boleh mengambil inisiatif untuk mendedahkan keseluruhan CSA kepada rakyat supaya mereka mengetahui perkara yang terkandung di dalamnya.
“Kalau kerajaan hari ini nak dedahkan, boleh sajalah rakyat tengok apa yang terkandung di dalam perjanjian tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, bekas Naib Presiden UMNO tersebut turut menyentuh mengenai perpecahan dalam kalangan orang Melayu yang disifatkan boleh melemahkan kekuatan politik mereka meskipun mempunyai jumlah majoriti.
Jelasnya, penyatuan Melayu perlu diberikan keutamaan bagi memastikan perpecahan tidak terus menjejaskan kedudukan politik kelompok berkenaan.
“Sekarang apa yang kita buat, UMNO dengan Pas, sudah terang-terangan dan kita sebenarnya lebih kepada penyatuan Melayu.
“Itu yang penting, walaupun kita majoriti tapi kalau kita berpecah macam dulu, kita kalah. Tidak ada maknanya,” katanya.
Foto: FB Ismail sabri
Sumber: Sinar Harian (Noor Ainon Mohamed)




