Sayang, peluk cium berulang kali rupanya petanda ajal, suami maut dalam perjalanan ke masjid

Sayang, peluk cium berulang kali rupanya petanda ajal, suami maut dalam perjalanan ke masjid

am@hmetro.com.my

Sungai Besar: Naluri seorang wanita yang berasa tidak sedap hati apabila suaminya berulang-kali mengucapkan sayang dan peluk cium akhirnya terjawab apabila dia terbabit dalam kemalangan di Kilometer 57 Jalan Klang-Teluk Intan, dekat Peket 100, Simpang Lima, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 malam, petani, Agus Salim Ralid, 71, maut di lokasi selepas motosikalnya dirempuh kereta ketika dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Maghrib.

Anak Allahyarham, Mohd Fadzil, 40, berkata ibunya, Kalthum Alias, 66, perasan arwah termenung lalu bertanya pergi ke masjid atau tidak.

“Ayah kemudian tersedar dan segera bersiap. Tidak lama selepas itu, mak dimaklumkan ayah terbabit dalam kemalangan.

“Mak seperti tidak percaya dengan berita yang berlaku tiba-tiba itu kerana ayah baru sahaja meninggalkan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Peket 60, di sini hari ini.

Menurutnya, kali terakhir dia berjumpa arwah pada Sabtu lalu apabila dia dan adik-beradik mengadakan program perhimpunan keluarga sebelum Ramadan.

Katanya, arwah dilihat gembira apabila semua anak-anaknya berkumpul selain berselera menikmati lemang.

“Arwah ayah tidak menunjukkan sebarang perubahan namun tegas dan sering mengingatkan kami untuk menjaga solat lima waktu.

“Siapa sangka dalam persiapan menyambut kedatangan Ramadan, kami sekeluarga diuji dengan tragedi ini. Memang terkilan kerana kemalangan sangat tragis selain keadaan ayah menyayat hati,” katanya yang menetap di Morib, Kuala Langat.

Jelas Mohd Fadzil, dia sekeluarga berharap pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan membawa keadilan kepada bapanya.

“Kami serah sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Harap pemandu kereta yang melanggar ayah dibawa ke muka pengadilan.

“Tragedi ini diharap menjadi pengajaran kepada semua dan kami mahukan keadilan untuk ayah,” katanya.

Mohd Fadzil berkata, jenazah bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Haji Dorani, di sini.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md Yusof Ahmad dilaporkan berkata, nahas membabitkan kereta Nissan Sentra dipandu lelaki berusia 29 tahun dan motosikal Yamaha Lagenda ditunggang mangsa.

Beliau berkata, pemandu Nissan Sentra dipercayai gagal mengawal kenderaan sebelum melanggar motosikal mangsa yang ketika itu berada di bahu jalan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top