redzuan.muharam@hmetro.com.my
Johor Bahru: Mulianya hati Nurain Dona Dameria Abdullah atau dikenali Nurain Abdullah kerana bukan hanya membesarkan tiga zuriatnya tetapi juga dua anak tiri selepas berpisah dengan bekas suami kira-kira tujuh tahun lalu.
Tiada istilah pilih kasih kerana Nurain, 42, yang memeluk Islam pada 2007 menyayangi kesemua anaknya sama rata malah sentiasa menganggap mereka sumber kekuatannya selepas kembali solo.
Nurain mengakui tidak mudah menggalas tanggungjawab sebagai ibu tunggal dan pernah hampir berputus asa untuk meneruskan hidup selepas berpisah kerana sepanjang perkahwinan, dia bergantung sepenuhnya kepada insan bernama suami.
Mengenangkan amanah dipikul, wanita itu berusaha bangkit dan kesungguhannya mencari rezeki dengan kudrat yang ada berhasil kerana kini bergelar usahawan produk kecantikan serta kesihatan di bawah jenamanya sendiri.
Menerusi syarikat diusahakan, Nurain mengeluarkan produk jus jamu, pelindung matahari, serum dan pencuci wajah.
Berkongsi kisahnya, Nurain berkata, dia mula menjalankan perniagaan sendiri sejak empat tahun lalu iaitu ketika tempoh pandemik Covid-19.
Katanya, pandemik menjadi titik permulaannya selepas melihat peluang yang terbentang di depan mata walaupun tiada ilmu dan pengalaman dalam bidang keusahawanan ketika itu.
“Permulaan saya dalam bidang perniagaan adalah selepas bergelar ibu tunggal tapi bukan terus ada syarikat sendiri seperti sekarang.
“Ia kerana dua bulan pertama selepas berpisah, saya bekerja di satu tempat kemudian beralih ke sebuah syarikat dan ditugaskan mengendalikan khidmat cucian wajah rumah ke rumah.
“Alhamdulillah, pulangannya memuaskan namun disebabkan Covid-19 tak dapat teruskan dan ketika itu (pandemik), TikTok tengah trend…saya pun tengok ramai orang berniaga di rumah dengannya.
“Jadi, saya minta bantuan seorang rakan yang tahu masak jamu untuk hasilkan jus minuman (jamu) dan tak sangka sambutan amat baik bermula dengan terjual 10 botol kemudian 20 sehingga 100 (botol) dalam masa sehari.
“Saya pula ambil kesempatan dengan menjual secara langsung di TikTok setiap hari hingga produk jenama saya semakin dikenali kemudian dapat dipasarkan di Sabah dan Sarawak sebelum menembusi pasaran di tujuh negara malah kini dikeluarkan dalam bentuk sacet,” katanya.
Menurut Nurain, kejayaannya memasarkan produk sampai ke luar negara bukan hasil usahanya sendiri tetapi juga dengan kerjasama sebuah kilang dalam menghasilkan formulasi serta bantuan dropship, ejen juga stokis.
Di sebalik kejayaan itu, Nurain mengakui banyak cabaran dilalui terutama pada peringkat awal kerana kurangnya ilmu dalam bidang keusahawanan.
“Cabarannya kerana saya tak pernah berniaga dari rumah jadi banyak yang saya tak tahu terutama bagaimana nak hantar bungkusan tapi belajar sendiri tanpa ada sesiapa ajar.
“Mujurlah anak jadi tulang belakang kerana banyak bantu pada peringkat awal dalam proses bungkus, angkat barang dan balas mesej pelanggan.
“Saya ambil masa juga nak sesuaikan diri namun semakin lama, saya jadi lali dengan rutin hingga sedar turun naik dalam perniagaan juga perkara biasa.
“Persaingan dalam perniagaan sentiasa ada malah normal ada orang suka dan tidak jadi kena siapkan mental kerana pernah satu masa, ada individu terdekat cuba jatuhkan saya.
“Apa yang berlaku buat saya belajar dan ambil sebagai pengajaran supaya tak terlalu percayakan orang. Tapi dalam kepahitan, banyak juga kemanisan saya kecapi sepanjang bergelar usahawan antaranya rezeki tidak dijangka misalnya tempahan dalam jumlah banyak mencecah ratusan ribu pada satu-satu masa,” katanya.
Nurain berkata, kerja keras dilakukan selama ini bukan hanya untuk kesenangan dirinya tetapi lima anaknya.
Menurut Nurain, dia mahu kejayaan dikecapi menjadi contoh kepada anak selain inspirasi buat semua wanita di luar sana.
© New Straits Times Press (M) Bhd
