SHAH ALAM – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) membuka ruang maklum balas awam bagi cadangan penambahbaikan rangka kerja kawal selia untuk pengendali pertukaran aset digital (DAX) di negara ini.
SC dalam satu kenyataan berkata, kertas perundingan yang diterbitkan bertujuan mengukuhkan daya saing pasaran aset digital yang dikawal selia selain meningkatkan perlindungan pelabur dan integriti serta daya tahan pengendali DAX.
“Sejak rangka kerja DAX diperkenalkan pada 2019, industri aset digital negara mencatat pertumbuhan stabil termasuk jumlah nilai dagangan tertinggi sebanyak RM13.9 bilion pada tahun 2024.
“Ia merupakan peningkatan 2.6 kali ganda berbanding tahun sebelumnya,” katanya pada Isnin.
Menurut kenyataan itu lagi, perkembangan tersebut turut disumbangkan oleh kemunculan pelbagai jenis aset dan perkhidmatan digital yang ditawarkan merentas pasaran modal.
“SC turut menyaksikan minat yang meningkat dalam kalangan pengantara pasaran modal konvensional dan pelabur institusi untuk menyertai ruang aset digital.
“Minat ini direkodkan sama ada menerusi pelaburan langsung dalam aset digital atau secara tidak langsung melalui dana pelaburan,” katanya.
SC menjelaskan, DAX memainkan peranan penting dalam menyediakan capaian pelaburan aset digital yang bertanggungjawab dalam persekitaran terkawal selain menyokong pasaran adil, telus dan teratur.
Mengulas mengenai cadangan penambahbaikan, SC memaklumkan kertas perundingan itu merangkumi tiga bidang utama.
“Pertama, cadangan meliberalkan rangka kerja penyenaraian aset digital di DAX tertakluk kepada pemenuhan kriteria minimum tertentu.
“SC bercadang menamatkan keperluan persetujuan langsung oleh SC bagi penyenaraian aset digital di DAX untuk mempercepatkan masa ke pasaran, meningkatkan akauntabiliti dan meluaskan penawaran produk,” ujarnya.
Seterusnya, SC mencadangkan peningkatan keperluan berkaitan perlindungan aset dan tadbir urus pelanggan.
“Ia termasuk keperluan kawalan operasi yang lebih ketat dan pengasingan aset pelanggan bagi memastikan tadbir urus pengendali DAX selaras dengan risiko operasi mereka.
“Ketiga, SC turut mencadangkan penetapan kriteria kewangan minimum tertentu bagi pengendali DAX untuk menjamin daya tahan kewangan. Langkah ini juga melibatkan pelaksanaan mekanisme perlindungan pelabur lebih teguh untuk meningkatkan keyakinan pasaran terhadap DAX terkawal,” katanya.
SC turut mengalu-alukan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan seperti pengeluar aset digital, pengendali DAX sedia ada, institusi kewangan, peserta pasaran modal serta persatuan industri, profesional perundangan dan pematuhan.
“Tempoh perundingan awam itu berlangsung dari 30 Jun hingga 11 Ogos 2025.
“Kertas perundingan boleh diakses secara dalam talian menerusi laman web https://www.sc.com.my/regulation/consultation-papers dan sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada aFINity@seccom.com.my,” jelasnya.