Kansas City: Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), Gianni Infantino, tampil memohon maaf kepada pengendali Argentina, Lionel Scaloni, selepas kekeliruan ketika majlis undian Piala Dunia 2026 memaksa jurulatih itu memakai sarung tangan sebelum menyentuh trofi berprestij berkenaan.
Infantino kemudian menjemput Scaloni untuk mengangkat trofi tanpa sarung tangan pada satu acara berasingan semalam, sebagai usaha membetulkan keadaan.
Insiden itu berlaku ketika undian rasmi pada Jumaat bagi edisi yang akan dianjurkan bersama Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada, apabila pihak penganjur dilihat gagal mengenali jurulatih yang membawa Argentina muncul juara dunia pada 2022.
Scaloni yang jelas terkejut berkata, pegawai terbabit ‘tidak tahu siapa dia’.
Sehari kemudian, pada majlis pelancaran jadual kejohanan, Infantino tampil menjernihkan suasana.
“Saya memohon maaf bagi pihak FIFA. Saya sendiri tidak tahu,” katanya sambil memanggil Scaloni ke pentas sebelum menyerahkan trofi untuk dipegang.
“Sudah tentu juara dunia berhak menyentuh trofi itu. Saya minta maaf, saya tidak tahu,” ulang Infantino sambil berseloroh, “Bila jadi juara dunia, rupa pun makin nampak muda setiap hari.”
Argentina akan membuka kempen Piala Dunia 2026 pada 16 Jun menentang Algeria di Kansas City, sebelum bertemu Austria dan Jordan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




