Scha Alyahya tidak ambil mudah soal batas pergaulan

Scha Alyahya tidak ambil mudah soal batas pergaulan

Kuala Lumpur : Pelakon, Scha Alyahya, 43, mengambil pendekatan tegas dengan mengehadkan pergaulan anak-anaknya, khususnya membabitkan interaksi dengan individu tidak dikenali, sama ada di alam maya mahupun dunia sebenar.

Menurut Scha, penetapan had atau batasan adalah asas penting yang perlu diterapkan sejak kecil bagi memastikan anak-anak membesar dengan akhlak terpuji dan tidak terlalu bebas dalam pergaulan.

Scha mengakui sikap berhati-hatinya itu mungkin dilihat berlebihan, namun baginya kerisauan adalah naluri semula jadi seorang ibu demi keselamatan zuriat.

“Awal selalu kata saya ‘overthinking’, tetapi bagi saya itulah naluri seorang ibu. Mendidik anak-anak untuk menjaga batas pergaulan sangat penting kerana ia perkara asas.

“Jika kita ajar dari sekarang, insya-Allah apabila mereka besar nanti, akhlak akan terbentuk dengan baik dan tidak terlalu bebas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi beg terbaharunya, The Nexx.

Scha berkata, didikan awal itu penting supaya apabila anak-anak meningkat dewasa kelak, mereka sudah memahami konsep menjaga diri serta mampu membezakan perkara baik dan buruk dalam pergaulan seharian.

Mengulas lanjut, Scha menegaskan ibu bapa sebagai individu paling rapat dengan anak-anak memikul tanggungjawab besar dalam mencorakkan masa depan zuriat, termasuk menetapkan had tertentu dalam aspek sosial.

Dalam pada itu, Scha dan suaminya, Awal Ashaari, turut menetapkan peraturan ketat berkaitan penggunaan gajet di rumah, termasuk menghadkan akses anak-anak kepada media sosial.

“Kami memang mengehadkan penggunaan iPad, mereka hanya dibenarkan menggunakannya pada hujung minggu. Lara hanya boleh memegang telefon atau iPad pada hari Sabtu dan Ahad.

“Dia juga tidak mempunyai akses kepada media sosial seperti Snapchat, Instagram atau Facebook. Saya hanya membenarkan Lara menggunakan media sosial ketika cuti sekolah sahaja.

“Aplikasi yang dibenarkan juga terhad dan sentiasa dipantau. Jika saya rasa dia terlalu lama menghadap skrin, saya akan menutup akses gajet untuk anak-anak.

“Teknologi memang sebahagian daripada dunia hari ini, tetapi yang paling penting ialah tahu dan menjaga batas,” ujarnya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top