Scha dan arwah ibu kongsi minat sama

Scha dan arwah ibu kongsi minat sama

najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan ikon fesyen terkenal, Scha Al Yahya, memberitahu dia dan Allahyarham ibunya, Junainah Hashim, berkongsi minat yang sama iaitu menggemari beg tangan.

Scha berkata, beg tangan menjadi antara perkara indah yang akan sentiasa diingati kerana mereka berkongsi koleksi beg tangan baharu.

“Saya dan mak memang selalu bertukar beg tangan. Apa saja koleksi yang saya ada, saya akan berikan kepadanya.

“Cuma, arwah akan menyimpan beg tangan itu dengan baik sehingga saya sendiri tidak pernah melihat dia menggayakannya kerana dia terlalu sayang untuk guna.

“Beg tangan adalah sesuatu yang kami kongsi bersama. Disebabkan itu juga, saya menamakan koleksi pertama beg tangan di bawah label saya, Ayaaya, sebagai Hey June, yang diinspirasikan daripada namanya,” katanya.

Scha berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran koleksi beg tangan pertama Hey June di bawah jenama fesyen miliknya, Ayaaya, di sini.

Gagal menahan air mata ketika memberikan ucapan sempena pelancaran jenama fesyennya, Scha mengaku detik indah itu sepatutnya diraikan bersama ibu yang selama ini menantikan projek terbaharu itu.

“Sudah lama saya menunggu untuk mengeluarkan produk jenama sendiri. Bagaimanapun, saya sedikit beremosi hari ini kerana ini sepatutnya diraikan bersama arwah ibu saya.

“Bagi saya, ini adalah cara untuk mengekspresikan diri kerana fesyen memberikan rasa keyakinan. Sebagai seseorang yang sudah lama berada dalam industri fesyen, arwah mak selalu bertanya apa lagi yang ingin saya lakukan dalam dunia ini.

“Dia sentiasa menggalakkan saya untuk meneroka bidang baharu. Saya pernah berjanji kepadanya dan mengatakan saya sedang berusaha ke arah itu.

“Koleksi pertama jenama beg tangan Ayaaya ini adalah penghormatan buat arwah mak. Selama ini, dia adalah antara sumber kekuatan yang memberi saya inspirasi untuk terus kuat dan menjadi insan yang lebih baik,” katanya.

Scha turut menyifatkan pelancaran ini sebagai satu cara untuk menghubungkan kasih sayangnya terhadap arwah ibunya serta para pengikut yang sentiasa menyokong perjalanan kariernya.

Allahyarham Junainah disahkan meninggal dunia akibat serangan jantung oada 7 Disember tahun lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top