Düsseldorf: Fabian Schar berharap untuk menunjukkan keupayaan sebenar Switzerland ketika menentang England dalam perlawanan suku akhir Euro 2024 Ahad ini, sambil memberi amaran untuk tidak memandang rendah keupayaan lawan yang sedang bergelut.
Pertahanan tengah itu menjadi sebahagian watak penting dalam pasukan Switzerland yang menonjol di Jerman sehingga kini, selepas seri dengan tuan rumah dalam peringkat kumpulan sebelum menyingkirkan juara bertahan, Itali dengan mudah di peringkat 16 terakhir.
Sebaliknya, England mengalami kesukaran, memerlukan gol penyamaan masa tambahan dari Jude Bellingham untuk menewaskan Slovakia 2-1 selepas diheret sehingga masa tambahan dalam perlawanan 16 terakhir mereka.
“Tidak kira bagaimana mereka bermain, mereka berada di peringkat suku akhir. Mereka boleh memberi kesan kepada lawan pada bila-bila masa jadi kami perlu bersedia untuk itu.”
Dia juga memperingatkan untuk tidak memandang rendah keupayaan England dengan prestasi terkini pasukan itu, sambil mengakui bahawa lawan mereka sudah memerhatikan persembahan terkini Switzerland.
Namun begitu, Schar menyatakan keinginan pasukannya untuk memperlihatkan keupayaan mereka di pentas besar.
Sementara itu, pengurus England, Gareth Southgate dilaporkan sedang mempertimbangkan peralihan taktikal kepada tiga pemain pertahanan untuk menentang formasi 3-4-3 Switzerland.
Pengurus Switzerland, Murat Yakin, bagaimanapun, tetap memberi tumpuan kepada kekuatan pasukannya dan menandingi persembahan mereka yang cemerlang menentang Jerman dan Itali.
“Kami tidak pasti dengan rancangan England tetapi mereka mempunyai banyak pemain berkualiti dalam pasukan mereka. Kami dalam keadaan yang baik, penuh keyakinan diri dan kami menunjukkan dalam beberapa perlawanan bahawa mampu bermain menentang pasukan besar.
“Kami bermain dengan baik menentang juara bertahan, menentang tuan rumah, jadi kami akan menimbulkan masalah kepada England dan kami akan lihat apa yang berlaku pada akhirnya.”
Perlawanan suku akhir yang menarik dijangka berlaku ketika Switzerland dan England bersedia untuk bertempur merebut tempat dalam separuh akhir Euro 2024.
© New Straits Times Press (M) Bhd




