Portrush: Juara bertahan Terbuka British, Xander Schauffele mengakui teruja untuk mempertahankan gelarannya di Royal Portrush minggu ini, namun menegaskan dia perlu merangka strategi baharu berbanding tahun lalu.
“Saya anggap ini seperti kanvas kosong. Banyak cara boleh diguna untuk menang kejohanan. Cuma kena cari lukisan yang betul,” katanya kepada media selepas menjalani sesi latihan di pantai County Antrim, awal pagi tadi.
Pemain berusia 31 tahun itu mencatat pusingan akhir tanpa bogey dengan 65 pukulan di Royal Troon tahun lalu bagi merangkul gelaran utama keduanya, selepas emas Olimpik Tokyo.
Schauffele menjadi pemain Amerika Syarikat ketiga dalam tempoh empat tahun menjuarai kejohanan tertua dunia itu.
Namun dia mengakui cabaran di Dunluce Links kali ini berbeza sama sekali.
“Pengalaman saya bermain baik sebelum ini adalah di Royal Troon. Di sini, saya rasa seperti perlu belajar semula selok-belok padang ini, biasakan diri dengan sudut pandang, serta pukulan tee,” katanya.
“Kalau saya dapat beri saingan di kelompok teratas, itu mungkin kelebihan sebenar saya. Saat-saat akhir kejohanan itulah tempat saya boleh guna pengalaman sepenuhnya.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




