SD Guthrie Berhad (Guthrie) melantik Mohd Haris Mohd Arshad sebagai Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan berkuat kuasa 1 September 2025.
Guthrie dalam satu kenyataan berkata, Mohd Haris, 53, sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Operasi Kumpulan syarikat tersebut.
“Beliau menyertai Guthrie pada tahun 2014 sebagai Ketua Unit Perkilangan Hiliran sebelum dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pegawai Operasi Segmen Hiliran pada 2017.
“Pada 2019, selepas penggabungan keseluruhan perniagaan hiliran di bawah Sime Darby Oils, Mohd Haris dilantik sebagai Pengarah Urusan pertama perniagaan itu,” menurut kenyataan itu pada Isnin.
Tambahnya, Mohd Haris memainkan peranan penting dalam pertumbuhan Sime Darby Oils dengan menerajui pelbagai inisiatif strategik.
“Antaranya termasuk program transformasi, peningkatan keuntungan segmen hiliran secara konsisten serta inisiatif kecemerlangan operasi, kelestarian dan tadbir urus.
“Beliau turut memacu agenda pendigitalan, keselamatan dan kesihatan pekerjaan selain pembangunan bakat dalam kalangan pekerja,” katanya.
Kenyataan itu memaklumkan sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan, Mohd Haris juga membina asas kepada model perniagaan ‘OneStream’.
“Beliau merupakan penyokong kuat mekanisasi, automasi dan pendigitalan industri sawit.
“Ketika ini, beliau turut memegang jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Pengerusi Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM),” ujarnya.
Selain itu, Mohd Haris juga merupakan anggota Lembaga Pemegang Amanah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).
“Sebelum menyertai Guthrie, beliau pernah memegang jawatan kepimpinan dalam bidang perdagangan dan pemasaran global.
“Beliau turut berpengalaman dalam perolehan serta pengurusan risiko komoditi di syarikat antarabangsa seperti Cargill, Nestlé dan Unilever,” katanya.
Kenyataan itu menambah, Mohd Haris merupakan graduan University of Arizona, Amerika Syarikat (AS) dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan.
“Beliau juga merupakan alumni Advanced Management Programme dari Harvard Business School, AS.
“Pelantikan ini diyakini dapat memperkukuh kepimpinan Guthrie dalam menerajui sektor sawit global,” ujar kenyataan itu.