SD Plantation teruskan langkah transformasi kerja ladang sawit

SD Plantation teruskan langkah transformasi kerja ladang sawit

Kuala Langat: Sime Darby Plantation Berhad (SD Plantation) memperlihatkan komitmen yang tinggi untuk terus mengorak langkah dalam mentransformasikan kerja perladangan sawit melalui penganjuran SD Plantation Future Fest ’24 di Pulau Carey, pada 23 dan 24 Februari lalu.

Pengerusi SD Plantation, Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani, berkata program dua hari yang julung kali dianjurkan itu bertujuan untuk mempamerkan perkembangan terkini serta inisiatif syarikat berkenaan dalam mentransformasikan kerja perladangan sawit menjadi lebih moden dan canggih melalui mekanisasi, automasi serta digitalisasi.

“Impian kami adalah untuk membangunkan Plantation of the Future atau ‘Perladangan Masa Hadapan.

“Kami percaya, perubahan yang kami impikan ini, bukan sahaja mampu membawa sektor perladangan sawit ke tahap yang lebih cemerlang malah akan menarik minat lebih ramai warga kerja tempatan untuk turut sama terlibat dalam industri sawit di negara kita.

“Pada hari ini, penggunaan jentera dan teknologi canggih seperti dron sudahpun mula dilaksanakan di ladang kami.

“Terdapat juga mesin atau teknologi yang masih diuji sebelum diimplementasi dan dikomersialkan,” katanya ketika berucap pada sesi lawatan kerja Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi ke SD Plantation Future Fest ’24, baru-baru ini.

Pada majlis berkenaan, dua perjanjian kerjasama dimeterai antara SD Plantation dengan dua institusi yang cukup sinonim dengan kecemerlangan.

Perjanjian kerjasama pertama membabitkan Universiti Malaya bagi projek Fasa 2 Pembangunan Alat Pemotong Laser yang merupakan antara teknologi yang sedang diuji untuk diguna pakai bagi kerja penuaian tandan buah sawit.

Perjanjian kerjasama yang kedua pula adalah antara SD Plantation dengan Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia bagi program pembangunan pakar jentera atau machine specialists.

Mengulas lanjut, beliau berkata machine specialists adalah satu bidang kerja baharu yang diwujudkan oleh SD Plantation selaras dengan penggunaan mesin baharu dan canggih yang kini diguna pakai di ladang syarikat berkenaan.

“Di SD Plantation Future Fest, terdapat juga pelbagai pameran dan aktiviti menarik yang bertujuan mengetengahkan keunggulan minyak sawit serta amalan pertanian terbaik dan lestari di SD Plantation.

“Pada acara ini, kami juga ingin memperkenalkan keistimewaan persekitaran Pulau Carey yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, biodiversiti serta peninggalan sejarah,” katanya.

Lahir modal insan

Sementara itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin, berkata kementerian melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) amat berbesar hati dengan kerjasama SD Plantation dalam merealisasikan hasrat kerajaan melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran.

Katanya, IMPAC adalah sebuah institusi induk yang dilantik sebagai Badan Peneraju Industri (Industry Lead Body) oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi memperkasa agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam sektor perladangan dan komoditi.

“IMPAC memainkan peranan yang proaktif bersama-sama pemegang taruh demi mewujudkan satu ekosistem yang dapat menarik minat generasi muda untuk memilih bidang pekerjaan di sektor agrikomoditi sebagai salah satu pilihan kerjaya yang menjamin masa hadapan.

“Melalui penggunaan mekanisasi dan automasi dalam operasi perladangan, sektor ini dilihat mampu menyediakan peluang pekerjaan bernilai tinggi (high value jobs) yang menjamin pendapatan yang kompetitif.

“Inisiatif Sime Darby Plantation dalam memodenkan sektor perladangan melalui projek kolaborasi teknologi seperti penghasilan alat pemotong laser bersama Universiti Malaya perlu dicontohi bagi melestarikan sektor perladangan menerusi penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan yang berterusan,” katanya.

Dalam pada itu, SD Plantation menyasarkan 100 peratus penggunaan tenaga kerja tempatan di ladang syarikat berkenaan menjelang 2027 bagi semua kategori kerja ladang selain kerja menuai buah kelapa sawit.

Ketua Pegawai Sumber Manusia SD Plantation, Zulkifli Zainal Abidin, berkata bagi kerja penuaian (harvesting), tenaga kerja asing masih diperlukan kerana ia kerja yang paling sukar dan kurang mendapat sambutan daripada pekerja tempatan.

Beliau berkata, menerusi Projek Lokal yang diperkenalkan pada 2019, SD Plantation menyasarkan matlamat untuk mengubah persepsi warga kerja tempatan selama ini yang menganggap kerja-kerja perladangan adalah pekerjaan ‘3D’ (kotor, sukar dan bahaya) kepada pekerjaan mahir yang bernilai tinggi menerusi penggunaan mesin dan jentera yang memudahkan operasi perladangan kelapa sawit.

Katanya, langkah tersebut juga bertujuan mewujudkan dimensi baharu dalam mengurangkan kebergantungan sektor perladangan kepada tenaga kerja asing.

“Pada 2021 kita dapat lihat bahawa minat pekerja tempatan dalam sektor pekerjaan di ladang adalah lebih baik daripada mula-mula kita perkenalkan (Projek Lokal) dan setakat ini kita telah berjaya melantik lebih 600 orang pakar jentera atau machine specialists, semuanya pekerja tempatan termasuk wanita.

“Jika dahulu, ada persepsi wanita tidak sesuai menjalankan kerja di ladang kerana kerja yang sukar seperti membawa beban berat. Namun dengan mekanisasi dan transformasi yang kami laksanakan, kerja di ladang menjadi lebih mudah dan boleh dilakukan dengan baik, sama ada lelaki mahupun wanita, asalkan terlatih dan berkelayakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd