Hangzhou, China: Pemain perseorangan wanita Korea Selatan, An Se-young menjuarai Jelajah Dunia Akhir BWF selepas menewaskan juara bertahan Wang Zhiyi 21-13, 18-21, 21-10, manakala pemain Perancis, Christo Popov mengejutkan juara dunia Shi Yuqi 21-19, 21-9 untuk memenangi gelaran lelaki hari ini.
Dengan gelaran ke-11 pada tahun 2025, Se-young menyamai rekod legenda Jepun Kento Momota sebagai pemain perseorangan dengan jumlah gelaran terbanyak dalam satu tahun kalendar. Popov pula menjadi pemain Perancis pertama memenangi kejohanan penutup musim tersebut.
Juara Olimpik Paris, Se-young, terlibat dalam perlawanan maraton selama 96 minit menentang Zhiyi, dengan kedua-dua pemain memanfaatkan kepantasan untuk meraih mata awal. Pemain China itu mensasarkan pukulan forehand lawannya dan memanjangkan rali untuk meletihkan Se-young
Namun, Se-young memberi tekanan hebat kepada Zhiyi menerusi pukulan tajam serta pertahanan mantap untuk meraih kelebihan, sebelum mencampurkan variati smash bagi memenangi satu set pendahuluan.
Zhiyi bangkit pada set kedua dengan kerap memerangkap lawannya itu. Keletihan akibat rali panjang menyebabkan kesilapan mula dilakukan oleh Se-young membolehkan pemain tuan rumah dari China itu berjaya memaksa perlawanan ditentukan di set penentuan.
Namun Se-young lebih bersedia kali ni dan mempamerkan strategi pertahanan dan kawalan gelanggang lebih kemas untuk merangkul gelaran kedua pada pentas penutup musim.
Dalam perlawanan akhir lelaki, rali pantas Popov melemahkan Yu-qi apabila pemain Perancis berusia 23 tahun itu mengejutkan pemain nombor satu dunia dari China untuk menjadi pemain Eropah ketiga memenangi kategori berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




