Pertemuan semula antara pelakon dan pengarah terkenal, Datuk Afdlin Shauki dan aktor hebat, Que Haidar baru-baru ini nyata mengundang air mata selepas lebih sedekad mereka membawa haluan masing-masing.
Menerusi satu video yang dikongsikan di TikTok, Afdlin, 53, meluahkan rasa sebak bertemu kembali dengan sahabat lamanya itu, selepas sekian lama tidak berhubung gara-gara satu insiden yang kini dianggap sudah berlalu.
“Dah lama sangat tak berbual dengan Que. Ada satu insiden dulu… tapi sekarang semua tu boleh kita lupakan,” katanya.
Menurut pelakon Papadom ini, pertemuan berkenaan turut membangkitkan kerinduan yang mendalam terhadap Que, lebih-lebih lagi apabila mengenangkan bakat besar yang dimiliki aktor berbakat itu.
Afdlin turut berkata dia kesal kerana membiarkan hubungan mereka terputus begitu lama tanpa sebarang komunikasi.
“Perjumpaan di rumah Imilya baru-baru ini bukanlah yang pertama, tapi perasaan sebak itu terlalu kuat. Rasa ruginya membiarkan masa berlalu begitu sahaja tanpa berbual selama lebih sedekad.
“Rindu nak bekerja dengan dia. Bagi abang, Que antara pelakon lelaki terbaik di Malaysia sangat versatil, sangat dinamik,” katanya.
Bagaimanapun, Afdlin bersyukur kerana mereka kini sudah berdamai dan saling bermaafan, membuka ruang untuk satu lembaran baru dalam persahabatan mereka.
“Harapan abang, ini adalah permulaan baru untuk kami. Love you, Que,” ujarnya penuh emosi.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut tersentuh melihat keakraban mereka yang kembali terjalin.
Bagaimanapun, Afdlin memilih untuk tidak mendedahkan punca sebenar perselisihan yang menyebabkan hubungan mereka renggang selama lebih satu dekad.
@afdlinshaukiofficial Lama abg tk bebual dgn Que. sebab ada insiden yang skrng ni kita boleh lupakan. Rindu nak kerja dgn que pasal abg percaya dia adalah antara pelakon lelaki terbaik di Malaysia. Sangat versatile dan sangat dynamic. Perjumpaan haritu di rumah Imilya bukan kali pertama tapi sebak di dada tk dapat dibendung kerana rasa macam ruginya kita tidak berbual selama sedekad lebih. Kami saling bermaafan dan harapan abg ini adalah permulaan baru untuk kami. Love you Que! Siapa igt scene abg dgn Que! Dan filem apaa? Cuba comment! Ps : tq tuan rumah Imillya untuk video yang penuh makna buat abg. #afdlinshauki