mahani@bh.com.my
Kuala Lumpur: Rakyat di negara ini diminta menghentikan sebarang tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar menegaskan, perbuatan itu boleh membawa keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam.
“Merujuk kepada video tular beberapa individu yang cuba menyebar agama Kristian di hadapan sebuah pasar raya di Desa Setapak, saya minta semua pihak supaya menghormati serta akur kepada Perlembagaan Persekutuan bagi memelihara keharmonian dalam negara.
“Apa-apa tindakan yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara perlu dihentikan kerana ia boleh membawa keresahan awam khususnya dalam kalangan umat Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Na’im berkata, semua pihak perlu bertenang dan memberikan kepercayaan penuh kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam membuat siasatan terperinci.
“Sekiranya terbukti mana-mana pihak telah melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang, mereka perlu dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
Terdahulu tular di aplikasi TikTok mengenai tiga lelaki warga asing didakwa menyebarkan agama Kristian di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail dilapor berkata, pihaknya menerima satu laporan pada jam 10.19 malam Isnin lalu berhubung perkara itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




