norhayati_nordin@hmetro.com.my
Kuala Lumpur : “Hakikatnya pagi tadi, isteri saya ke mahkamah adalah untuk menarik semula kes cerai. Tapi, mahkamah minta tangguh ke satu tarikh kerana tidak mahu seperti mempermainkan mahkamah,” kata pelakon popular, Fikry Ibrahim, 31, mengenai isterinya, Siti Khalizah Alihan yang memohon perceraian, Mei lalu.
Fikry berkata, dia masih menyayangi isterinya itu dan sebagai lelaki dan suami, dia akan memastikan perkahwinan dibina bersama isterinya atas dasar cinta itu tidak berakhir dengan perceraian.
“Kami saling mencintai. Malah, dia sentiasa bersama menemani di mana saja berada sama ada ketika bekerja atau pulang ke kampung.
Fikry turut menafikan mereka berkahwin secara terpaksa, sebaliknya memang berkahwin atas dasar cinta yang ikhlas di antara satu sama lain.
“Saya juga ada baca yang kata isteri saya tidak gembira kerana duduk dengan mak saya. Macam, kalian pula yang duduk dengan kami,” katanya.
Sebelum itu, Fikry muncul mengacarakan program Melodi TV3 secara ‘live’ bersama rakan hos, Ain Edruce yang bersiaran jam 9 malam, hari ini.
Ain bagaimanapun terkejut dengan kehadiran Fikry ketika dia menemubual penyanyi, Wani Kayrie kerana beranggapan lelaki asal Kedah itu tidak hadir.
“Betul-betul datanglah. Kita ‘gentle’,” kata Fikry ringkas sambil ketawa.
Terdahulu, peguam syarie mewakili Khalizah, Wan Muhammad Afiq Mohd Razib mengesahkan mengenai sebutan kes perceraian pasangan itu selain memberitahu tidak pasti mengenai kehadiran Fikry.
Muhammad Afiq turut memaklumkan anak guamnya memfailkan perceraian terhadap suaminya pada Mei lalu atas alasan tiada lagi persefahaman.
Walaupun sudah failkan cerai, Muhammad Afiq memaklumkan plaintif masih terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan suaminya bagi mencapai pendamaian antara mereka.
Fikry dan Khalizah melangsungkan perkahwinan pada 12 Februari lalu di sebuah masjid di Jitra, Kedah.
© New Straits Times Press (M) Bhd