am@hmetro.com.my
Kota Kinabalu: Mahkamah Koroner dijadual mendengar sebutan inkues kes kematian Zara Qairina Mahathir di Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu di sini, esok.
Memaklumkan perkara itu, peguam mewakili keluarga Zara Qairina, Hamid Ismail, berkata sebutan dijadual pada jam 9 pagi.
“Sebutan untuk inkues ditetapkan esok di Mahkamah Kota Kinabalu pada jam 9 pagi esok,” katanya melalui mesej Whatsapp kepada media.
Peguam mewakili keluarga Zara sebelum ini meminta inkues diadakan bagi menentukan punca kematian Zara Qairina.
Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara pada Rabu lalu, menjelaskan inkues berkenaan termasuk untuk mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian pelajar berkenaan.
Kenyataan itu menyebut, keputusan bagi mengadakan inkues dibuat selepas meneliti laporan siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes itu pada 12 Ogos lalu.
Kenyataan itu turut menyebut, proses inkues akan dikendalikan di Mahkamah Koroner secara bebas dan telus mengikut peruntukan undang-undang.
Susulan kenyataan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar pada sidang medianya selepas itu menjelaskan permohonan inkues berhubung kematian Zara Qairina dikemukakan kepada koroner seawal minggu ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd