redzuan.muharam@hmetro.com.my
Semenyih: Sudah sedekad lelaki ini tidak bersua dan mendengar khabar berita anak tunggalnya hingga kerinduannya semakin menebal setiap kali tibanya satu Syawal.
Kini, Amri (bukan nama sebenar) hanya dapat menumpang kasih dengan individu yang bukan darah dagingnya iaitu rakan penghuni di Pusat Jagaan Mahmudah, dekat sini.
Berkongsi kisahnya, Amri berkata, dia menjadi penghuni di pusat jagaan berkenaan sejak dua tahun lalu dan dihantar ke situ oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut Amri, dia sudah menduda dan ada seorang anak lelaki selepas berpisah dengan bekas isteri sejak sedekad yang lalu.
“Saya berasal dari Batu Pahat, Johor dan pernah bekerja sebagai pengawal keselamatan di Hospital Serdang, Selangor.
“Tapi selepas sakit, saya tak dapat bekerja dan JKM hantar saya ke sini bagi membantu selepas mendapati saya tiada tempat tinggal.
“Seingat saya, saya datang ke sini (Pusat Jagaan Mahmudah) selepas seminggu raya dan awalnya berasa lain kerana sudah biasa hidup bebas di luar.
“Tapi dalam masa tiga hari, saya dapat biasakan diri. Banyak juga perubahan saya, daripada bertongkat waktu datang dan sekarang sudah boleh berjalan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Pusat Jagaan Mahmudah, dekat sini.
Berkongsi rutin harian, Amri yang masih menjalani rawatan dialisis mengakui banyak diberi pendedahan mengenai ilmu agama yang mendekatkan lagi dirinya dengan Allah SWT.
“Kebiasaannya saya dan penghuni lain akan ke surau untuk solat berjemaah dan mengaji. Kami ada juga belajar tajwid, daripada lupa sampai ingat.
“Tak sangka juga akan tinggal di sini tapi saya sudah boleh menerima dan biasakan diri. Saya anggap penghuni lain macam keluarga malah mereka sudah jadi kawan juga emak dan abang angkat. Tak kira usia tua atau muda, kami bersama macam satu keluarga yang besar.
“Cuma bila tiba hari raya, rasa rindu dan sedih tentunya ada terutama bila mengenangkan anak yang tak tahu pun saya di sini,” katanya.
Amri berkata, dia tidak dapat bekerja kerana masalah kesihatan jadi kemungkinan akan menghabiskan sisa hidupnya di pusat jagaan berkenaan.
“Tapi saya teringin nak jumpa anak sebab sejak berpisah dengan bekas isteri memang tak jumpa kerana waktu itu pun, umurnya baru tujuh tahun,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




