suliati@hmetro.com.my
Kota Bharu: Masjid Imanul Fai’zin atau lebih dikenali sebagai Masjid Andalusia meneruskan tradisi tahunannya dengan menganjurkan majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan di sini.
Program yang memasuki tahun ketiga berturut-turut itu bukan saja berjaya menghimpunkan masyarakat setempat, tetapi pengunjung dari luar, berbuka bersama dalam suasana yang sederhana, namun sarat dengan nilai kebersamaan, keakraban dan keberkatan.
Pengasas Masjid Imanul Fai’zin yang juga Pengarah Urusan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ibrahim Mat Sin berkata, sebanyak 1,000 hidangan disediakan setiap hari merangkumi pelbagai juadah tradisi Kelantan.
Katanya, penganjuran program ini juga saban tahun mendapat sambutan bukan sahaja daripada masyarakat setempat, malah pengunjung dari negeri lain yang ingin merasai suasana berbuka puasa ala Tanah Suci di dataran masjid.
“Menjelang azan Maghrib, aroma masakan tradisi Kelantan seperti nasi kerabu, ayam percik dan kuih-muih memenuhi dataran masjid.
“Jemaah akan duduk bersila bersama keluarga dan rakan, berkongsi juadah dalam suasana yang mengingatkan pengalaman berbuka di Makkah dan Madinah.
“Suasana itu juga bukan sekadar kenikmatan makanan, tetapi juga membina ukhuwah dan mengeratkan kasih sayang sesama Muslim,” katanya.
Kemuncak kemeriahan diteruskan dengan solat tarawih berjemaah yang menyaksikan saf yang panjang sehingga ke dataran luar masjid, sekali gus mencipta gambaran penyatuan ummah yang begitu menyentuh.
Ibrahim berkata, dalam usaha mengimarahkan waktu Subuh, pihak jawatankuasa masjid turut mencadangkan penyediaan juadah sahur yang ringkas khusus buat mereka yang hadir solah berjemaah di masjid.
“Inisiatif ini diharap dapat menggalakkan lebih ramai umat Islam memulakan hari dengan langkah ke masjid, menjadikan Ramadan bukan hanya hidup di waktu malam, tetapi bercahaya penuh di waktu fajar.
“Oleh itu, kami menjemput masyarakat hadir bersama keluarga dan sahabat untuk merasai sendiri pengalaman Ramadan yang begitu bermakna di Masjid Imanul Fai’zin,” katanya.
Dibina pada 2020, Masjid Imanul Fai’zin ini mendapat suntikan inspirasi besar daripada arkitektur megah Masjid Sheikh Zayed di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Kini, masjid ini juga menjadi salah satu tarikan pelancongan religi utama di Kelantan yang kaya warisan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




