Sediakan peruntukan, lebih 50 peratus flat di Johor kotor, usang – Exco

Sediakan peruntukan, lebih 50 peratus flat di Johor kotor, usang – Exco

JOHOR BAHRU: Lebih 50 peratus flat kos rendah di negeri ini berada dalam kategori kotor dengan pelbagai masalah penyelenggaraan seperti yang dizahirkan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor berkata, sudah tiba masanya kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan khas untuk menyelenggara premis berkenaan.

Menurutnya, flat kos rendah atau flat awam tersebut berbeza berbanding Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Rumah Sewa Kerajaan (RSK) yang mempunyai peruntukan khas kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Di seluruh Johor, terdapat lebih 100 projek flat awam dan berdasar data kita miliki, 100 daripadanya terletak dalam kawasan Greater JB, iaitu di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Majlis Perbandaran Kulai (MPKu),” katanya selepas meninjau Flat Taman Ungku Tun Aminah (TUTA), di sini hari ini yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim dan Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad.

Mohd. Jafni berkata, selama ini tiada peruntukan khas kerajaan untuk flat awam kerana merupakan kediaman swasta yang diuruskan penduduk menerusi penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Menurutnya, berdasarkan undang-undang mereka perlu menubuhkan jawatankuasa penduduk dan melaksanakan bayaran penyelenggaraan bulanan yang akan digunakan untuk menyelenggara premis tersebut, namun malangnya, lebih 70 peratus flat awam di Johor gagal membuat bayaran penyelenggaraan bulanan mencukupi bagi membolehkan kontraktor melakukan kerja-kerja pembaikan.

“Jadi, sudah tiba masanya kerajaan Pusat menyediakan peruntukan khas bagi pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan untuk flat awam bukan sahaja di Johor, malah di seluruh negara,” katanya sambil memaklumkan MBIP akan menubuhkan sebuah jawatankuasa tindakan yang disertai beberapa agensi berkaitan bagi menangani masalah flat awam yang kotor dan usang dalam kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Ambil contoh Flat TUTA ini, di sini terdapat 44 blok dengan 4,085 unit rumah, ini merupakan antara flat dengan jumlah kepadatan penduduk yang tinggi di Johor dan juga merupakan antara flat awam tertua di negeri ini kerana dibina pada tahun 1985, hampir 40 tahun usianya kini. Jadi, jawatankuasa bertindakan yang ditubuhkan itu akan mengenal pasti keperluan mendesak flat-flat awam seperti bumbung, pendawaian elektrik dan sistem perpaipan yang usang.

“Perkara ini perlu dilakukan secara berfasa kerana untuk membaik pulih flat awam memakan kos yang sangat besar, di kawasan ini sahaja dianggarkan lebih RM10 juta, flat awam di Saujana melibatkan kos RM13 juta, manakala flat awam di sekitar EDL pula melibatkan kos RM21 juta,” katanya.

Semalam, Sultan Ibrahim menzahirkan kekecewaan baginda terhadap tahap kebersihan dan penyelenggaraan flat-flat kos rendah di negeri ini.

“Saya melihat ada beberapa flat kos rendah di negeri ini dalam keadaan yang amat menyedihkan dan seolah-olah rakyat saya hidup dalam ‘reban ayam’,” titah baginda. – UTUSAN