Sedih lihat keadaan anak hadapi SPM

Sedih lihat keadaan anak hadapi SPM

am@hmetro.com.my

Rantau Panjang: Ibu bapa calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas banjir sehingga terpaksa dipindahkan ke sekolah di Pasir Mas, berharap anak mereka yang diuji dengan banjir besar itu dilapangkan dada dan tenang untuk berdepan peperiksaan esok.

Kebanyakan mereka bimbang anak-anak tidak mampu beri yang terbaik kerana masing-masing dalam keadaan bersedih dan serba kekurangan akibat banjir.

Ibu, Salmiah Mohd, 51, turut mengakui bimbang terutama anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang terpaksa dipindahkan di sekolah di Pasir Mas untuk menduduki peperiksaan bermula esok.

“Sejak Selasa lalu saya dan dua anak termasuk yang akan menduduki SPM berpindah di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi selepas rumah di Kampung Chabang Tiga dilanda banjir dan hanya nampak bumbung.

“Dua hari lalu saya dimaklumkan anak (Mohd Nor Hazoliq Abdullah) terpaksa dipindahkan ke sekolah lain kerana sekolahnya terjejas banjir.

“Saya dan anak begitu sedih kerana selama ini kami tidak pernah berpisah. Tiba-tiba kami terpaksa berpisah di hari penting anak sulung saya,” katanya ketika ditemui di SK Gual Tinggi.

Ibu pelajar, Norazira Abdul Halim, 38, turut menyifatkan hanya mampu berdoa dari jauh supaya emosi anaknya kembali pulih.

“Memang sedih melihat keadaan anak (Nur Ariana Mohd Rozizi) kerana selama ini saya nampak usahanya begitu kuat untuk menghadapi SPM.

“Namun di saat akhir mereka diuji dengan banjir sehingga tidak dapat mengulangkaji. Saya berdoa emosi mereka semua kembali baik sepanjang berada di sekolah baharu,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top